Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tose dan Chadni kegemaran MB sempena Deepavali

GOMBAK, 27 OKT: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari meluangkan masa mengunjungi beberapa rumah kaum India di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua untuk bersama-sama meraikan sambutan perayaan Deepavali.

Beliau yang tiba sekitar jam 10.30 pagi terlebih dahulu menzarahi keluarga S Vinayagar, 40, dan L Pushpa, 40, di Kampung Bahtera.

L Pushpa berkata, setiap tahun keluarganya pasti menantikan kedatangan Amirudin kerana beliau sering kali menziarahi mereka pada musim perayaan.

Katanya, Amirudin menggemari tose yang dicecah chadni iaitu kuah kelapa pedas.

“Kami sekeluarga gembira dengan kehadiran beliau setiap kali Deepavali ke sini.

“Saya masak tose, chadni dan kentang masak lada hitam yang menjadi kegemaran Dato’ Menteri Besar,” katanya.

Amirudin Shari menikmati juadah tose dan chadni di rumah S Vinayagar sempena sambutan Deepavali di Kampung Bahtera, Batu Caves pada 27 Oktober 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau berkata, hari pertama sambutan Deepavali tahun ini hanya disambut di rumah sambil menantikan kehadiran ahli keluarga yang lain.

Amirudin meneruskan ziarah ke rumah Ketua Komuniti Kaum India di DUN Sungai Tua, S Manivannan, 41, dan R Subashini, 39, di Kampung Indian Settlement, Batu Caves.

Beliau yang meluangkan masa hampir 20 minit di sini berkata, aktiviti ziarah di musim perayaan ini menjadi tradisi dilakukannya sejak 10 tahun lalu.

“Setiap kali musim perayaan besar, saya akan mengunjungi sahabat di DUN Sungai Tua bagi bersama-sama meraikan perayaan mereka.

“Tradisi yang diamalkan ini berjaya mengekalkan perpaduan antara kaum. Rata-rata yang mengikuti saya adalah orang Melayu tetapi apabila musim perayaan rakan bukan Islam juga bersama-sama datang,” katanya.