Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar mahu beri tumpuan bina kekuatan ekonomi negara

MUAR, 2 NOV: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau akan memberi tumpuan kepada usaha membina kekuatan ekonomi negara dalam usaha meningkatkan taraf kehidupan rakyat.

Presiden PKR itu berkata ​​​​​​​pertumbuhan ekonomi negara adalah mendatar untuk tempoh 10 tahun ini dan ia memberi kesan kepada kehidupan rakyat serta kemampuan kerajaan untuk membantu rakyat.

Tanpa sebuah ekonomi yang kukuh dengan pertumbuhan memberangsangkan, katanya, kerajaan menghadapi kekangan dalam membantu rakyat seperti bantuan kepada golongan B40, pinjaman pendidikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPN) dan bantuan kesihatan kepada rakyat.

“Ramai orang lihat derita saya bertahun tahun di penjara, tetapi (di penjara) saya masih ada tempat tinggal ada makan minum semua ada. Tetapi lebih 60 tahun negara merdeka masih ada rakyat yang tempat tinggal dan makan minum tidak terjamin,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen PKR Johor di sini yang turut dihadiri Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar serta kira-kira 500 anggota PKR negeri ini.

Anwar berkata, bagi melaksanakan usaha itu pemimpin PKR dalam kerajaan pada masa ini seharusnya tidak menjadi ‘pak turut’ yang hanya menyokong kerajaan tanpa berani mengkritik dan bersuara bagi membentuk sebuah kerajaan lebih baik untuk rakyat.

Beliau berkata pemimpin PKR perlu sentiasa mengingati dan mengenggam idealisma perjuangan parti iti yang ditubuhkan bagi membela nasib rakyat di negara ini.

“Jangan kita (pemimpin PKR) menjadi sombong, buat kerja diamanahkan kepada kita, tanggungjawab kita nak selesai masalah rakyat, buat apa nak angkat saya jadi pemimpin bagi senang saya tetapi biar rakyat merempat.

“Kalau tidak setuju atau tidak suka dengan dasar ini buang saya. Terima kenyataan ini, pimpinan kita terutama sudah jadi menteri kena tumpu perkara ini kerana kemiskinan itu masih menjadi masalah dalam kalangan rakyat kita,” katanya.

-BERNAMA