Categories
SELANGOR

#Selangor2020 disifat bajet ulang tayang – Pembangkang

SHAH ALAM, 2 NOV: Pengurangan jumlah peruntukan Belanjawan #Selangor2020 dikhuatiri akan menyaksikan Kerajaan Negeri sekali lagi membentangkan perbelanjaan tambahan seperti yang berlaku sebelum ini.

Ketua Pembangkang Selangor, Rizam Ismail berkata, ini memandangkan belanjawan yang dibentangkan semalam mendapati jumlah peruntukan lebih kecil berbanding peruntukan 2019.

Katanya, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menyatakan pengurangan Belanjawan #Selangor2020 adalah berikutan kejayaan Kerajaan Negeri membuat beberapa penjimatan.

“Bagaimanapun, jika dilihat pecahan antara perbelanjaan mengurus dan pembangunan, kita dapat melihat peratusan kepada perbelanjaan mengurus adalah lebih tinggi berbanding tahun lalu.

“Manakala bagi perbelanjaan pembangunan pula, berlaku pengurangan sebanyak RM147 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi pembentangan belanjawan di Dewan Negeri Selangor, di sini, semalam.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri Sungai Panjang, Dato’ Mohd Imran Tamrin berpendapat tiada sebarang pakej rangsangan diberi tumpuan khususnya daripada aspek startegi ekonomi selain menyifatkan Belanjawan #Selangor2020 sekadar ulang tayang.

“Ia adalah bajet defisit kerana jika tahun lalu Kerajaan Negeri seolah-olah berbangga apabila dapat membuat belanjawan berimbang, namun kali ini kembali kepada bajet berkenaan (defisit).

“Kerajaan Negeri sepatutnya membuat pembekalan tambahan kerana banyak yang disebut adalah sektor ketinggalan, misalnya perkembangan aeroangkasa,” katanya.