Categories
AGENDA NASIONAL

Job Fair: RM800,000 kurang kadar pengangguran

SHAH ALAM, 1 NOV: Sejumlah RM800,000 diperuntukan bagi membiayai festival Job Fair pada tahun depan bagi mengurangkan kadar pengangguran di Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata peruntukan itu disediakan susulan kejayaan Program Selangor Mega Job Fair 2019.

“Selangor Mega Job Fair 2019 adalah program pertama kali berskala mega yang membabitkan 180 syarikat swasta terpilih dan 20 agensi/jabatan kerajaan terlibat dalam program ini.

“Daripada jumlah itu, lebih 12,000 peluang ditawarkan dan 20 majikan menawarkan peluang pekerjaan kepada golongan Orang Kurang Upaya pada hari berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan #Selangor2020 di Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Amirudin berkata, program yang dilaksanakan pada 16 Mac lalu menerima hampir 20,000 pengunjung yang membantu mengurangkan kadar pengangguran.

Katanya, ia juga juga membantu syarikat yang memerlukan tenaga kerja khususnya di tahap kritikal dengan mendahulukan pembabitan dalam kalangan warga tempatan.