Categories
AGENDA NASIONAL

Pengunjung Selangor Mega Job Fair 2020 diminta daftar dalam talian

SHAH ALAM, 16 SEPT: Orang awam diminta mendaftar dengan Jobs Malaysia dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebelum mengunjungi lokasi Selangor Mega Job Fair 2020.

EXCO pembangunan generasi muda berkata langkah itu bagi mengelakkan kesesakan di kaunter masuk selain mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19.

“Pendaftaran secara dalam talian boleh dibuat bermula 15 September di pautanĀ http://nfdot.com/ereg/views/jobfair/ . Pemohon akan mendapat kod QR dan disediakan laluan khas di setiap lokasi untuk yang sudah mendaftar.

“Kita bimbang jumlah hadir terlalu ramai. Ini akan mengambil masa lama jadi yang tak daftar mungkin berdepan masalah atau tidak dibenarkan masuk ke karnival kerjaya ini,” kata Mohd Khairuddin Othman pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Selangor Mega Job Fair 2020 di sini semalam.

Beliau berkata pengunjung juga diminta memakai pelitup muka serta mengamalkan penjarakan fizikal ketika hadir di lokasi penganjuran.

“SOP ini diluluskan Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Salangor (STFC) selain program dijalankan mengikut ketetapan Majlis Keselamatan Negara,” katanya.

Selangor Mega Job Fair 2020 menawarkan 24,500 peluang pekerjaan dan dilangsungkan di sembilan lokasi bermula awal Oktober hingga hujung tahun.

Berikut adalah lokasi dan tarikh program:

1. SACC (3 dan 4 Oktober)
2. Stadium Tertutup Kuala Selangor (10 dan 11 Oktober)
3. Dewan Orang Ramai Telok Panglima Garang, Kuala Langat (24 dan 25 Oktober)
4. Pusat Komuniti Gombak (7 dan 8 November)
5. Dewan Seri Cempaka Kajang, Hulu Langat (14 dan 15 November)
6. Sepang (21 dan 22 November)
7. Hulu Selangor (5 dan 6 Disember)
8. Sabak Bernam (12 dan 13 Disember)
9. Klang (28 dan 29 Disember)

Categories
EXCO SELANGOR

Jobvaganza 2020 @ DUN Bukit Melawati tawar lebih 1,000 peluang pekerjaan

SHAH ALAM, 9 MAC: Lebih 1,000 peluang pekerjaan ditawarkan dalam Karnival Kerjaya Jobvaganza 2020 @ DUN Bukit Melawati di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Daerah Kuala Selangor pada 15 Mac ini, kata EXCO pembangunan generasi muda.

Membabitkan 30 penyertaan majikan Mohd Khairuddin Othman berkata karnival bukan sahaja kepada golongan belia malah terbuka kepada orang kelainan upaya (OKU) dan pesara.

“Karnival ini membantu syarikat yang memerlukan tenaga kerja dengan mendahulukan penglibatan warga tempatan, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja warga asing.

“Kita mahu melahirkan modal insan proaktif dengan mewujudkan saluran peluang pekerjaan berkualiti bagi meningkatkan taraf hidup seterusnya mengurangkan kadar pengangguran di negeri ini,” katanya pada sidang media di Foyer SUK hari ini.

Dibuka 9 pagi hingga 5 petang, Mohd Khairuddin menjangkakan 5,000 pengunjung akan hadir.

Selain sesi temuduga terbuka, aktiviti lain seperti Klinik Kerjaya, Pameran Informasi dan Kerjaya, pameran pelbagai agensi kerajaan dan swasta, jualan kenderaan saji (food truck), gerai makanan kering turut disediakan serta kaunter Hijrah Selangor.

Categories
AGENDA NASIONAL

Job Fair: RM800,000 kurang kadar pengangguran

SHAH ALAM, 1 NOV: Sejumlah RM800,000 diperuntukan bagi membiayai festival Job Fair pada tahun depan bagi mengurangkan kadar pengangguran di Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata peruntukan itu disediakan susulan kejayaan Program Selangor Mega Job Fair 2019.

“Selangor Mega Job Fair 2019 adalah program pertama kali berskala mega yang membabitkan 180 syarikat swasta terpilih dan 20 agensi/jabatan kerajaan terlibat dalam program ini.

“Daripada jumlah itu, lebih 12,000 peluang ditawarkan dan 20 majikan menawarkan peluang pekerjaan kepada golongan Orang Kurang Upaya pada hari berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan #Selangor2020 di Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Amirudin berkata, program yang dilaksanakan pada 16 Mac lalu menerima hampir 20,000 pengunjung yang membantu mengurangkan kadar pengangguran.

Katanya, ia juga juga membantu syarikat yang memerlukan tenaga kerja khususnya di tahap kritikal dengan mendahulukan pembabitan dalam kalangan warga tempatan.

Categories
SELANGOR

Lebih 10,000 serbu cari kerja

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAh ALAM, 31 DIS: Anggaran lebih 10,000 pencari kerja tampil menghadiri Karnival Selangor Jobs Fair 2016 yang diadakan di Dataran Kemerdekaan, di sini hari ini.

Pegawai Penyelaras Program, Abdul Majid Abdul Hamid berkata, program siri kedua anjuran Jawatan Kuasa Tetap Pendidikan Pembangunan Modal Insan, Sains Teknologi dan Inovasi dengan kerjasama Job Malaysia dan Jabatan Tenaga Kerja Negeri Selangor itu memperuntukkan sebanyak RM90,000.

“Penganjuran kali ini lebih ramai dan mendapat sambutan hangat daripada belia dan pencari kerja kerana borang yang kita sedia adalah 10,000 habis sejak pagi tadi dan sehingga kini tidak putus pengunjung yang hadir.

“Dan ini adalah antara karnival yang besar diadakan. Sebelum ini juga kita laksanakan empat kali mini karnival antaranya di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) dan INSPEN ,” katanya kepada SelangorKini di Dataran Kemerdekaan, di sini, hari ini

Katanya, tujuan utama karnival itu dianjurkan adalah membantu belia yang menganggur ataupun pencari kerja mahukan pekerjaan lebih baik.

Tambahnya lagi, lebih menarik di karnival itu pencari kerja berpotensi besar diserap terus ke syarikat selepas selesai sesi temu duga pada hari sama.

Difahamkan, lebih 35 syarikat swasta dan agensi pekerjaan yang beroperasi di Selangor menawarkan pelbagai kekosongan jawatan dalam pelbagai bidang profesional dan kemahiran.

Antara syarikat utama seperti Pos Malaysia, Aeon Berhad, Kumpulan Naza serta syarikat GLC milik Kerajaan Negeri untuk jawatan tetap dan kontrak.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor Job Fair peluang graduan teroka dunia pekerjaan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 29 DIS: Karnival Selangor Job Fair 2016 memberi peluang kepada golongan muda untuk mengisi keperluan kekosongan pekerjaan dalam bidang profesional dan kemahiran.

kuis 6Penyelaras program, Daniyel Mat Jusoh berkata, graduan diberi peluang untuk membuat permohonan pekerjaan secara terus di syarikat tempatan pilihan mereka.

“Ini bukan program julung kalinya memandangkan setiap tahun karnival ini dilaksanakan sebagai landasan graduan lepasan institut pengajian tinggi awam dan swasta atau lepasan Sijil Pelajaran Malaysia untuk memohon pekerjaan.

“Lebih mudah apabila mereka boleh terus membuat permohonan dan diberi peluang untuk ditemuduga oleh syarikat dan agensi pekerjaan yang mengambil bahagian dalam karnival tahun ini.

“Kita harapkan graduan yang masih mencari pekerjaan atau mahukan peluang pekerjaan lebih baik boleh menggunakan peluang ini sebaiknya,” katanya ketika ditemui selepas penganjuran pertandingan stompers di Dataran Kemerdekaan, di sini, pagi ini.

Pada masa sama, karnival yang berlangsung 31 Disember ini akan disertai lebih 35 syarikat swasta dan agensi pekerjaan yang menawarkan pelbagai kekosongan jawatan dalam pelbagai bidang profesional dan kemahiran.

Antara syarikat utama seperti Pos Malaysia, Aeon Berhad, Kumpulan Naza serta syarikat GLC milik Kerajaan Negeri untuk jawatan tetap dan kontrak.

-NFN-