Categories
AGENDA SUKANKINI

Kerja baik pulih Stadium Shah Alam dilaksana berperingkat

SHAH ALAM, 4 NOV: Kerja membaik pulih Stadium Shah Alam dijalankan secara berperingkat dengan mendahulukan perkara asas seperti sistem elektrik dan pengairan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata hal itu kerana kos membaik pulih stadium berkenaan menelan belanja RM250 juta yang disifatkan terlalu tinggi.

“Memang membabitkan kos besar tetapi kita tidak buat sekali gus kerana kita sudah ada angkanya dan untuk mengubah semua sistem dalam stadium, kita perlukan paling kurang RM250 juta, jadi ia memerlukan kos sangat besar.

“Jika mahu buat secara luaran sahaja kurang bermakna kerana fungsi dalaman seperti sistem air dan elektrik mesti diperbetulkan dahulu, jadi kita betulkan perkara asas kemudian luaran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Amirudin berkata secara asasnya, Stadium Shah Alam masih berada dalam keadaan baik seperti padang, kemudahan asas dan strukturnya.

Namun katanya kerja pembaikan kemudahan asas giat dijalankan sejak tiga hingga empat tahun lalu.

Terdahulu, Rizam Ismail (BN-Sungai Air Tawar) dalam ucapan perbahasannya menggesa Kerajaan Negeri memberi perhatian untuk membaik pulih Stadium Shah Alam.