Categories
AGENDA NASIONAL

14 syarikat berminat baik pulih, bangunkan Stadium Shah Alam

SHAH ALAM, 3 DIS: Kerajaan Negeri akan membuat keputusan pada bulan depan untuk memilih salah satu daripada 14 syarikat yang mengemukakan cadangan untuk pembangunan Stadium Shah Alam.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelbagai tawaran diterima antara 2013 hingga tahun lalu termasuk cadangan menaik taraf stadium di Seksyen 13 di sini selain membina yang baharu.

“Kerajaan Negeri menerima 14 cadangan terhadap stadium tersebut. Ada tawaran RM200 hingga RM800 juta tetapi itu bukan yang kita lihat tetapi lihat kemampuan mereka membangunkan kawasan itu.

“Kita tidak boleh tergesa-gesa kerana ia melibatkan kawasan 80 ekar. Kita kena teliti dulu cadangan yang mana beri impak yang baik. Ada pelbagai cadangan dan tawaran. Ada yang mahu naik taraf, ada yang hendak bina baru,” katanya.

Beliau berkata demikian pada penggulungan perbahasan Belanjawan #Selangor2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Bagaimanapun, katanya, pendirian Kerajaan Negeri setakat ini mahu melihat stadium itu dibaik pulih kerana ia adalah salah satu ikonik di Selangor.

Pada 21 Ogos lalu, Amirudin berkata Stadium Shah Alam yang berusia lebih 20 tahun bakal berwajah baharu menerusi kerja naik taraf keseluruhan kompleks itu bermula tahun depan.

Beliau berkata proses itu termasuk dalam cadangan pembangunan semula kawasan sekitarnya yang diusahakan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan Selangor tidak akan roboh Stadium Shah Alam

SHAH ALAM, 2 DIS: Kerajaan Negeri menolak dakwaan segelintir pihak bahawa terdapat perancangan untuk merobohkan Stadium Shah Alam di Seksyen 13 di sini.

EXCO sukan Mohd Khairuddin Othman berkata sehingga kini tiada sebarang kertas cadangan dibawa ke Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) bagi melaksanakan perkara tersebut.

“Desas-desus ini banyak ada kata roboh, ada kata bina dulu baru roboh. Tetapi apa yang saya boleh nyatakan secara yakin kepada ketua pembangkang sehingga tarikh hari ini tidak ada satu kertas yang dimasukkan dalam MMKN berkaitan merobohkan Stadium Shah Alam,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan yang dibangkitkan ketua pembangkang Datuk Rizam Ismail ketika menggulung perbahasan Belanjawan Selangor 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Khairuddin berkata Unit Projek Khas (UPK) telah ditubuhkan untuk membuat kajian serta membentangkannya kepada Kerajaan Negeri berkaitan cadangan terbaik membaik pulih stadium itu.

“UPK telah ditubuhkan pada 9 Jun 2021 dan dijangka membentangkan cadangan serta maklum balas dalam masa terdekat,” katanya.

Pada 21 Ogos lalu, Dato’ Menteri Besar berkata Stadium Shah Alam yang berusia lebih 20 tahun bakal berwajah baharu menerusi kerja naik taraf keseluruhan kompleks itu bermula tahun depan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata proses itu termasuk dalam cadangan pembangunan semula kawasan sekitarnya yang diusahakan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Katanya, kos baik pulih stadium yang dibuka pada 1994 itu dijangka menelan belanja sehingga RM350 juta berdasarkan penilaian Jabatan Kerja Raya.

Categories
EXCO SELANGOR

Selangor rancang guna padang Stadium Shah Alam akhir tahun ini

SHAH ALAM, 27 OGOS: Kerajaan Negeri sedaya upaya berusaha memastikan padang bola sepak Stadium Shah Alam dapat digunakan semula akhir tahun ini, kata EXCO sukan.

Mohd Khairuddin Othman berkata, rancangan jangka pendek itu akan dibentangkan kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Kita yakin dapat realisasikan wajah baharu, cuma sementara menunggu pembangunan holistik yang bakal dilengkapi pelbagai kemudahan kita mempunyai angan-angan untuk memastikan padang tersebut digunakan semula akhir tahun ini.

“Saya akan berbincang dengan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berhubung perancangan ini memandangkan Stadium Shah Alam sangat besar dan unik malah semua pemain legenda bola sepak pernah bermain di situ,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program bual bicara ‘Ikhtiar Selangor Bantu Belia’ yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Media Selangor malam tadi.

Pada 21 Ogos lalu, Amirudin berkata stadium yang berusia lebih 20 tahun bakal berwajah baharu menerusi kerja naik taraf yang dijangka menelan belanja sehingga RM350 juta berdasarkan penilaian Jabatan Kerja Raya.

Menurutnya, proses itu termasuk dalam cadangan pembangunan semula kawasan sekitarnya yang diusahakan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Stadium yang dibuka pada 1994 itu mampu menampung 80,000 penonton namun tidak dapat digunakan buat masa ini akibat kerosakan struktur bumbung.

Pada pembentangan Belanjawan 2021 Oktober tahun lalu, Amirudin turut mencadangkan projek pembangunan Bandar Belia dan Sukan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM8 bilion di sekitar stadium itu.

Beliau berkata kerjasama strategik dengan swasta itu dilaksana secara perkongsian berkonsepkan perkotaan hijau berpaksi kelestarian alam dan bandar pintar.

Categories
EXCO SELANGOR

EXCO: Unit khas ditubuh bangunkan Kompleks Sukan Shah Alam

SHAH ALAM, 24 OGOS: Unit Projek Khas (UPK) ditubuh di bawah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI untuk pelaksanaan pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA).

EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman berkata penubuhan unit khas itu dipersetujui pada Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri yang bersidang pada 9 Jun lalu.

“Unit khas ini bertindak sebagai pengurus projek yang bertanggungjawab memastikan pembangunan KSSA dilaksanakan secara teratur dan komprehensif untuk menyumbang nilai serta pulangan tinggi kepada kerajaan demi manfaat rakyat Selangor.

“Buat masa ini lapan pelawaan memberi cadangan (RFP) daripada syarikat-syarikat swasta dan sedang diperhalusi pihak UPK. Kerajaan Negeri komited memastikan pembangunan KSSA bersesuaian dengan hasrat Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari iaitu selari dengan konsep ‘Youth and Sports City’,” katanya.

Mohd Khairuddin berkata demikian ketika menjawab soalan wakil rakyat Sungai Air Tawar Datuk Rizam Ismail berhubung status Stadium Shah Alam pada Sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Pada 21 Ogos, Dato’ Menteri Besar berkata Stadium Shah Alam yang berusia lebih 20 tahun bakal berwajah baharu menerusi kerja naik taraf keseluruhan kompleks itu bermula tahun depan.

Beliau memaklumkan proses itu termasuk dalam cadangan pembangunan semula kawasan sekitarnya yang diusahakan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Stadium Shah Alam yang mampu menampung 80,000 penonton tidak dapat digunakan buat masa sekarang akibat kerosakan struktur bumbung.

Pada pembentangan Belanjawan 2021 Oktober tahun lalu, Amirudin mencadangkan projek pembangunan Bandar Belia dan Sukan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM8 bilion di sekitar stadium itu.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Stadium Shah Alam berwajah baharu tahun depan

SHAH ALAM, 21 OGOS: Stadium Shah Alam yang berusia lebih 20 tahun bakal berwajah baharu menerusi kerja naik taraf keseluruhan kompleks itu bermula tahun depan.

Dato’ Menteri Besar berkata proses itu termasuk dalam cadangan pembangunan semula kawasan sekitarnya yang diusahakan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, kos baik pulih stadium yang dibuka pada 1994 itu dijangka menelan belanja sehingga RM350 juta berdasarkan penilaian Jabatan Kerja Raya.

“Stadium mula terjejas apabila ada banjir besar pada 2006 menyebabkan kerosakan sistem di bawahnya, penyelengaraannya juga tinggi mengakibatkan kita rugi RM5 juta, malah pernah RM8 juta.

“Selepas beberapa tahun buat pembaikan kecil-kecilan, sudah tiba masanya kita buat naik taraf sepenuhnya,” katanya pada program bual bicara Tiga Talk malam tadi.

Stadium Shah Alam yang mampu menampung 80,000 penonton tidak dapat digunakan buat masa sekarang akibat kerosakan struktur bumbung.

Pada pembentangan Belanjawan 2021 Oktober tahun lalu, Amirudin mencadangkan projek pembangunan Bandar Belia dan Sukan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM8 bilion di sekitar stadium itu.

Beliau berkata kerjasama strategik dengan swasta itu dilaksana secara perkongsian berkonsepkan
perkotaan hijau berpaksi kelestarian alam dan bandar pintar.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pengunjung puas hati harga juadah bazar Ramadan

SHAH ALAM, 18 APRIL: Rata-rata pengunjung bazar Ramadan di Stadium Shah Alam berpuas hati terhadap harga juadah yang ditawarkan setiap gerai.

Pengurus syarikat pendidikan Rajae Mohamad Ali, 37, berkata harga bagi setiap makanan dan minuman berpatutan malah sama seperti dua tahun lalu.

“Jadi, dengan harga yang masih sama seperti ini, saya dapat beli lebih banyak makanan untuk keluarga,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Dia juga berpuas hati terhadap pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) peniaga dan pengunjung yang mengamalkan penjarakan fizikal dan mendaftar melalui MySejahtera.

Sementara itu, peniaga bubur lambuk Ashraf Baharudin, 26, berkata meskipun bilangan pengunjung agak ramai namun masing-masing mengambil langkah kawalan kendiri.

“Harga makanan di sini juga murah dan boleh dapat makanan bungkus serendah RM4 manakala air manis dan kuih-muih boleh dapat RM2.

“Sambutan agak menggalakkan namun apabila cuaca hujan lebat jualan agak kurang dan lambat habis,” katanya lagi.

Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

Selangor guna Stadium MBPJ tiga tahun untuk Liga-M

SHAH ALAM, 8 JAN: Kelab Bolasepak Selangor (Selangor FC) akan beraksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk sekurang-kurangnya tiga tahun bermula musim ini.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata persiapan rapi stadium yang akan menjadi gelanggang rasmi Gergasi Merah bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) sedang giat dijalankan memandangkan Stadium Shah Alam kini dalam proses baik pulih.

“Untuk musim ini kita sah beraksi di stadium tersebut paling kurang pun dua atau tiga tahun dan sudah membuat persiapan untuk tujuan itu,” kata Dr Johan Kamal Hamidon ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Cek Sumbangan di Pusat Latihan Persatuan Bolasepak Selangor hari ini.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kos baik pulih Stadium Shah Alam melibatkan penggantian bumbung polikarbonat serta pendawaian elektrik pada bahagian itu mencecah RM30 juta manakala kos keseluruhan RM250 juta.

Sementara itu, Dr Johan berkata Selangor FC membuat sedikit kelainan dengan memperkenalkan jersi ‘home’ pada penghujung Januari berbanding yang ketiga sebelum ini.

“Tahun ini kita lancarkan jersi ‘home’ terlebih dahulu diikuti ‘away’ dan ketiga pada pertengahan serta hujung Februari,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kerajaan Negeri teliti kerosakan Stadium Shah Alam

PETALING JAYA, 7 OGOS: Kerajaan negeri Selangor masih meneliti kerosakan yang berlaku di Stadium Shah Alam sebelum mengeluarkan perbelanjaan yang sepatutnya untuk proses menaik taraf venue berkenaan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kos untuk menggantikan bumbung polikarbonat serta pendawaian elektrik pada bumbung Stadium Shah Alam sahaja mencecah RM30 juta dan jika ditambah dengan kos menaik taraf keseluruhan dijangka mencecah RM250 juta.

“Saya selalu berbincang dengan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) untuk baiki stadium (Shah Alam) dan sebagainya. Memang perlukan masa agak panjang, paling tidak untuk ubah bumbung (stadium) sahaja mengambil masa antara empat sehingga enam bulan untuk disiapkan.

“Kalau kita ingin membaiki bumbung, kita juga perlu lihat proses pendawaian pada keseluruhannya sebab ia akan mendedahkan kesemua wayar elektrik (di sekitar bumbung stadium).

“Sebab itu kita minta pasukan Selangor berpindah sementara ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya sebelum kembali ke Stadium Shah Alam pada 2022 atau 2023,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis pelancaran jersi baharu kelab Liga Perdana Inggeris, Liverpool FC bagi musim 2020/21 di sebuah kedai menjual peralatan sukan di sini, semalam.

Selangor dilapor sedang mempertimbang sama ada menggunakan Stadium UiTM di Shah Alam atau Stadium MBPJ di Kelana Jaya bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia serta kempen Piala Malaysia musim ini, memandangkan Stadium Shah Alam tidak selamat digunakan berikutan keadaan bumbung yang uzur.

Stadium Shah Alam yang berkapasiti 80,000 penonton mendapat ‘sentuhan’ arkitek ternama negara, Hijjaz Kasturi dibuka secara rasmi pada Julai 1994 dan pernah menjadi gelanggang utama skuad Harimau Malaya pada 1994 hingga 1997 sebelum Stadium Nasional Bukit Jalil siap dibina.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pasar tani di Stadium Shah Alam bermula Ahad ini

SHAH ALAM, 2 APRIL: Majlis Keselamatan Negara meluluskan tapak Stadium Shah Alam di Seksyen 13 di sini sebagai lokasi pasar tani sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Ahad ini, kata EXCO pertanian.

Ir Izham Hashim berkata ia susulan pengumuman kerajaan supaya Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) mengambil tanggungjawab menjual barangan basah bagi mengurangkan kesesakan di pasar awam.

“Bagaimanapun kawalan ketat dilakukan polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sepanjang pasar tani beroperasi maka untuk kemudahan pembeli, Kerajaan Negeri wujudkan laluan pandu lalu bagi mengelakkan kesesakan.

“Tetapi jika anda menggunakan laluan berkenaan, harus diingat hanya pemandu sahaja boleh datang membuat pembelian, tidak boleh berdua atau lebih daripada itu, kita masih perlu mengekang penularan wabak Covid-19,” katanya ketika siaran langsung menerusi Facebook hari ini.

Pada 31 Mac lalu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata 97 pasar tani di bawah seliaan Fama beroperasi di seluruh negara.

Ia melibatkan pasar tani terpilih dengan 10 lokasi, pasar tani kekal (16), pusat operasi Fama (17), My Farm Outlet (3), Kompleks Pertubuhan Peladang Kawasan (34) dan selebihnya di kompleks jabatan dan agensi bersesuaian.

Categories
SELANGOR

Shah Alam tersenarai 25 stadium terbesar di dunia

SHAH ALAM, 17 FEB: Stadium Shah Alam tersenarai antara 25 stadium bola sepak terbesar di dunia sebaris dengan Camp Nou yang merupakan stadium rasmi bagi FC Barcelona.

Selain Shah Alam, Business Insider Malaysia juga menyenaraikan 22 stadium besar lain termasuk Stadium Nasional Bukit Jalil Kuala Lumpur, Stadium May Day Korea Utara, Stadium Wembley London, Stadium Croke Park Ireland dan Stadium Stade des Martyrs di Republik Demokratik Congo.

Stadium Shah Alam mempunyai 80,372 tempat duduk dibina pada 1991 dan dibuka secara rasmi pada Julai 1994.

“Perlawanan bola sepak pertama di stadium itu pada 1994 apabila Selangor bertemu Dundee United,” kata laporan itu.

Ia juga merupakan gelanggang utama skuad bola sepak kebangsaan dan menjadi lokasi perlawanan akhir Piala Malaysia dari 1994 sehingga 1997 sebelum Stadium Nasional Bukit Jalil dibina.

Terdahulu, Kerajaan Negeri merancang untuk membaik pulih bumbung Stadium Shah Alam yang rosak membabitkan kos keseluruhan hampir RM20 juta.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari turut mengarahkan Darul Ehsan Facilities Management berbincang dengan Menteri Besar Pemerbadanan dan Permodalan Negeri Selangor Berhad bagi tujuan itu.

Pada 11 Februari, Kementerian Belia dan Sukan turut menyatakan kesediaannya memberi panduan serta khidmat nasihat kepada pihak Perbadanan Stadium Malaysia susulan isu bumbung rosak yang dikatakan mengancam keselamatan penonton.

Categories
AGENSI SELANGOR

Sathia: Kasihan penyokong jika beraksi di Stadium Selayang

SHAH ALAM, 10 FEB: Ketua jurulatih Selangor harap beberapa masalah membabitkan Stadium Shah Alam dapat diselesaikan sebelum Liga Malaysia bermula hujung bulan ini.

B Sathianathan otpimis ia mampu diselesaikan walaupun mengakui banyak aspek akan terjejas sekiranya tidak dibenarkan beraksi di sana, lapor Berita Harian.

Katanya, corak persembahan perlawanan akan tergugat jika Red Giants terpaksa kembali beraksi pada sebelah petang di Stadium Selayang.

“Sayanglah kalau kita tidak dapat main di Stadium Shah Alam kerana ini memang tempat kita, rumah kita. Kalau kita terpaksa main di tempat lain, sudah tentu ia akan menyukarkan banyak pihak.

“Apa yang paling saya kasihankan adalah penyokong. Katakanlah kita main di Stadium Selayang, kita terpaksa main petang dan kapasiti juga tidak mampu menampung perlawanan besar,” katanya.

Stadium Shah Alam bernilai RM480 juta kini berdepan masalah kerosakan bumbung yang mengancam keselamatan penonton.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pemeriksaan kedua Stadium Shah Alam fokus kerosakan bumbung

KUALA LUMPUR, 10 FEB: Pemeriksaan terhadap tahap kesediaan Stadium Shah Alam bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2020 akan dijalankan sekali lagi dalam minggu ini, dengan aspek kerosakan bumbung dijangka menjadi fokus utama.

Pengurus Pembangunan Perniagaan Darul Ehsan Facilities Management (DEFM), Mohd Fahmi Mohd Nordin berkata pemeriksaan tersebut akan melibatkan DEFM selaku pihak bertanggungjawab menguruskan Stadium Shah Alam, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Menurut Mohd Fahmi, pemeriksaan awal dijalankan pihak MFL sebelum ini tidak menyentuh mengenai aspek kerosakan bumbung, sebaliknya tumpuan hanya kepada usaha penambahbaikan permukaan padang dan keadaan bilik persalinan pemain.

“Kita (DEFM) akan ada satu lagi pemeriksaan dengan MFL dan FAS dalam beberapa hari ini, jadi kita tunggu dan lihat apa ketetapan bakal dibuat. Mengenai pemeriksaan sebelum ini, ia lebih kepada spesifikasi lain dan MFL tidak memberi sebarang maklum balas berkaitan bumbung,” katanya kepada Bernama.

Selangor berdepan kemungkinan melupakan aksi Liga Malaysia (Liga-M) musim ini di Stadium Shah Alam selepas pemeriksaan awal dilakukan MFL mendapati, terdapat beberapa perkara yang tidak mencapai tahap piawaian seperti ditetapkan.

Ketua Pegawai Operasi (COO) MFL Mohd Shazli Shaik Mohd dipetik sebagai berkata pihaknya telah mengemukakan cadangan penambahbaikan hasil pemeriksaan awal sebelum ini kepada FAS, untuk segera melakukan kerja-kerja membaik pulih stadium termasuk dari aspek bumbung.

Menurut beliau, semua venue membabitkan aksi Liga-M musim ini perlu mendapatkan kelulusan dengan menepati tahap piawaian ditetapkan, sekurang-kurangnya seminggu sebelum sepak mula pada 28 Februari.

Bagaimanapun, penetapan tarikh itu kini menimbulkan persoalan mengenai status Stadium Shah Alam apabila Mohd Fahmi mengesahkan kerja-kerja membaik pulih stadium tersebut tidak dapat dilakukan sebelum bermulanya liga.

Beliau berkata pihaknya hanya boleh memberi jaminan dari segi pemantauan rapi mengenai tahap keselamatan penonton sehingga kerja-kerja membaik pulih yang dijangka dilakukan tahun ini bermula, sekiranya Selangor dibenarkan terus menggunakan stadium tersebut.

“Masalah kerosakan bumbung menjelang pembukaan liga musim ini memang tiada sebarang penambahbaikan akan dilakukan, tetapi kita akan membuat pemantauan rapi dari semasa ke semasa terutama jika cuaca ribut,” katanya.

– BERNAMA