Categories
AGENSI SELANGOR

MAIS paling layak laksana hukuman alternatif

SHAH ALAM, 28 NOV: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) adalah badan yang layak untuk mentadbir dan melaksanakan perintah berkaitan hukuman alternatif di Selangor.

Peguam, Datuk Salehuddin Saidin berkata bersandarkan kepada itu MAIS turut bertanggungjawab menyediakan kerangka program, modul atau prosedur operasi standard (SOP) di peringkat negeri.

Katanya MAIS turut disaran melantik pegawai penyelia bagi memantau aktiviti khidmat masyarakat yang dilakukan pesalah syariah di setiap daerah.

“MAIS perlu menyediakan satu kerangka program yang komprehensif bagi memudahkan pelaksanaan perintah Mahkamah Syariah, sekali gus memulihkan pesalah daripada mengulangi kesalahan dan lebih penting menginsafi perbuatan lalu sesuai matlamat pelaksananaan hukuman alternatif sendiri,” katanya.

Syor berkenaan merupakan antara perkara disentuh pada Konvensyen Kebangsaan Perundangan Jenayah Syariah: Pemerkasaan Hukuman Alternatif yang berlangsung di Dewan Syarahan dan Muzakharah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.

Hukuman alternatif adalah salah satu daripada hukuman takzir, gantian daripada hukuman asal yang diperuntuk.

Dalam pelaksanaan hukuman alternatif walaupun hukuman asal tidak dikenakan terhadap pesalah, ia tetap dilaksana berlandaskan lunas undang-undang dan hukum syarak.

Namun, ketiadaan SOP bagi melaksanakan hukuman alternatif menimbulkan pelbagai kekangan berbanding keberkesanannya.

Untuk menentukan sama ada pelaksanaan hukuman alternatif itu bersesuaian menurut pandangan syariah di Mahkamah Syariah khususnya di Selangor, rujukan utama ialah kepada Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Negeri Selangor Tahun 2003, Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor Tahun 1995 dan peruntukan di bawah Akta Mahkamah Syariah 1984 dari segi skop serta bentuk hukuman.