Categories
AGENSI PBT SELANGOR

Pemilik tanah, kilang diberi tempoh setahun laksana pemutihan

BANTING, 20 NOV: Pemilik tanah dan pengusaha kilang berdaftar di daerah Kuala Langat diberi tempoh selama setahun untuk memulihkan atau membuat permohonan tukar kategori syarat tanah bermula sejak 1 Oktober lalu hingga 30 September tahun hadapan.

Pegawai Daerahnya, Mohd Jusni Hashim berkata, tempoh itu dipersetujui di bawah Program Pematuhan Syarat dan Penguatkuasaan Kilang Tanpa Kebenaran (PPSPKTK) membabitkan beberapa kaedah pelaksanaan.

“Bagi tempoh pemutihan, pemilik perlu memulihkan tanah dengan mengembalikan keadaan tanah mengikut kategori dan syarat nyata seperti dalam hak milik.

“Selain itu, tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) dan agensi berkaitan terhadap semua pemilik berdaftar sama ada berada di dalam atau luar zon perindustrian.

“Tindakan secara bersepadu ini turut dilakukan terhadap kilang yang dibina di atas tanah kerajaan terutama rizab sungai, jalan dan kawasan lapang.

“Insentif sehingga 30 peratus daripada jumlah premium akan diberikan kepada pemilik sekiranya permohonan dibuat mengikut tempoh masa ditetapkan,” katanya pada program PPSPKTK, di Kompleks Sukan MDKL, di sini hari ini.

Mohd Jusni berkata, pihaknya akan mengeluarkan notis supaya menunjukkan sebab, selain tindakan merampas tanah sekiranya didapati pemilik ingkar melakukan pemutihan selepas tamat tempoh setahun itu.

“Saya menyeru semua pemilik berdaftar tanah dan pengusaha kilang mengambil peluang kali ini untuk memutihkan kilang tanpa kebenaran supaya selari dengan dasar Kerajaan Negeri untuk menyediakan ruangan industri yang menepati serta mematuhi segala perundangan terpakai.

“Langkah ini juga bagi meningkatkan produktiviti dan persaingan sihat antara semua pemain industri,” katanya.

Sebelum ini, PPSPKTK dinamakan Program Pemutihan Kilang Tanpa Kebenaran (PPKTK) yang bermula pada Julai 2006 sehingga 31 Disember 2015 dan disambung sebanyak enam kali dalam tempoh itu.

Untuk rekod sepanjang tempoh PPKTK, hanya 630 kilang berjaya diputihkan daripada keseluruhan kira-kira 2,885 kilang yang dibina di atas 2,638 lot tanah pertanian mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).