Categories
EXCO SELANGOR

Program YAnIS fokus keperluan OKU Selangor

OLEH ALIFF HAIKAL

BUKIT SENTOSA, 30 NOV: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1 juta bagi penubuhan Yayasan Anak Istimewa Selangor (YAnIS) untuk mengendalikan keperluan buat golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) di negeri ini.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, peruntukan tersebut secara tidak langsung membuktikan Kerajaan Negeri tidak mengabaikan golongan OKU.

“Penubuhan YAnIS berfungsi sebagai landasan untuk mencari dana dan menyediakan latihan kemahiran yang diperlukan dalam merealisasikan program pemberdayaan OKU di Selangor.

“Golongan yang merupakan pemegang kad OKU juga akan menerima faedah seperti Bantuan Kewangan Program Pendidikan Khas (PPK) ke Politeknik dan Kolej Komuniti selain mempunyai saluran khas untuk mereka memasuki institut pengajian tinggi awam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Karnival 3W (Wellness, Welfare, Women) Tahun 2019 yang bertemakan Hari OKU dan HIV di Jalan Orkid, Bukit Sentosa, di sini, hari ini.

Katanya, bagi memastikan golongan OKU tidak ketinggalan dalam pelajaran, Kerajaan Negeri juga akan mewujudkan Pusat Pemberdayaan AnIS yang memberi fokus kepada anak-anak yang bermasalah dalam pembelajaran seperti mereka yang autism.

Siti Mariah berkata, pelbagai agensi, sama ada swasta dan kerajaan yang prihatin juga telah menyediakan pelbagai kemudahan khas buat OKU yang berurusan di pejabat kerajaan atau tempat-tempat awam.

Terdahulu Karnival 3W Tahun 2019 yang berlangsung dari jam 7 pagi hingga pukul 5.30 petang itu menyajikan pelbagai aktiviti menarik seperti e-Games, senaman warga emas, senamrobik, ceramah HIV atau sindrom kurang daya tahan penyakit, aktiviti mewarna dan pertandingan beyblade.

Karnival yang memasuki edisi ke-11 ini turut diadakan bersama Hari Tanpa Kenderaan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS).

Turut hadir pada karnival itu, Timbalan Yang Dipertua MDHS, Awaluddin Zakaria dan Ahli Dewan Undangan Negeri Batang Kali, Harumaini Omar.