Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tanjung Piai bukti rakyat desak PAKATAN tunai manifesto

KUALA LUMPUR, 19 NOV: Kekalahan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Sabtu lalu adalah mesej rakyat kepada kerajaan supaya menunaikan janji manifesto, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng. 

“Apa yang rakyat mahu lihat adalah bahawa kita kena menunaikan janji yang kita telah buat. Oleh itu, saya rasa adalah penting PAKATAN memberi tumpuan untuk menunaikan janji tersebut seperti mana yang digariskan dalam manifesto pilihan raya.

“Saya yakin kalau kita berusaha bersungguh-sungguh, rakyat akan membuat penilaian sendiri, dan membuat keputusan yang memihak kepada kerajaan PAKATAN,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis menandatangani memorandum persefahaman antara SME Bank Bhd, Malaysia Rail Link Sdn Bhd and China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL) di sini, semalam.

Bagaimanapun, Guan Eng yang juga Menteri Kewangan menepis dakwaan isu peruntukan belanjawan untuk Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC) adalah satu-satunya penyebab kekalahan PAKATAN pada PRK Tanjung Piai. 

PRK Tanjung Piai yang berlangsung pada 16 November menyaksikan calon Barisan Nasional Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng  memenanginya dengan majoriti 15,086 undi. 

Jeck Seng, bekas Ahli Parlimen Tanjung Piai selama dua penggal, memperoleh
25,466 undi mengatasi calon PAKATAN, Karmaine Sardini yang mendapat 10,380 undi, calon Gerakan Wendy Subramaniam (1,707), diikuti  Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz daripada Berjasa (850) and dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock (380) dan  Faridah Aryani Abdul Ghaffar (32).

-BERNAMA