Categories
AGENDA NASIONAL

Tekanan inflasi terus dikawal pada 2020

KUALA LUMPUR, 21 NOV: Walaupun trajektori inflasi dijangkakan tinggi pada 2020, tekanan inflasi dijangkakan terus dikawal oleh permintaan yang sederhana, dengan pertumbuhan ekonomi domestik diunjur lebih perlahan daripada potensi pertumbuhan output Malaysia pada 4.8 hingga 5.0 peratus pada 2020.

United Overseas Bank (Malaysia) Bhd (UOB Malaysia) berkata, dengan kadar faedah nyata yang positif, Bank Negara Malaysia (BNM) mempunyai ruang untuk menurunkan kadar dasar semalamannya (OPR) untuk melindungi pertumbuhan domestik di tengah-tengah ketidaktentuan perdagangan yang berlarutan serta pelaburan yang lemah.

“Justeru, kami menjangkakan penurunan 25 mata asas OPR kepada 2.75 peratus pada suku pertama 2020,” kata ahli ekonomi kanannya, Julia Goh dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata harga terapung minyak di pam secara beransur-ansur bermula Januari 2020, pelan pelarasan ke atas tarif air di seluruh negara, dan kesan asas, akan menjadi faktor utama peningkatan inflasi pada 2020.

“Kami menjangkakan inflasi bergerak sekitar 1.1 peratus kepada 1.3 peratus bagi tempoh berbaki dua bulan pada 2019, sebelum meningkat melepasi 2.0 peratus pada 2020. Ini meletakkan purata inflasi setahun penuh pada 0.8 peratus pada 2019,” katanya.

Selain harga bahan api di pam yang terapung secara beransur-ansur, tarif air yang juga dijangka naik secara berperingkat sebaik Mekanisme Penetapan Tarif (TSM) baharu dilaksanakan tahun depan, akan mengurangkan jurang antara tarif air semasa dan kos sebenar pengeluaran.

Tarif air dicadangkan meningkat antara 7.0 sen dan 70 sen bagi setiap 1,000 liter.

Tarif semasa ialah RM1.38 bagi setiap 1,000 liter air, berbanding kos pengeluaran sebanyak RM2.31 bagi setiap 1,000 liter.

“Pada masa ini, kami menjangkakan impak minimum daripada kenaikan tarif air berjadual pada 2020 memandangkan wajaran kecil 0.9 peratus dalam kumpulan indeks harga pengguna,” katanya.

– BERNAMA