Categories
PBT SELANGOR

Tindakan mahkamah jika biar lembu berkeliaran

KUALA SELANGOR, 24 NOV: Pemilik haiwan ternakan berisiko diseret ke mahkamah jika sengaja membiarkan haiwan peliharaan mereka berkeliaran di jalan raya.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Rahilah Rahmat berkata tindakan di bawah Seksyen 13 Enakmen Mengawal Lembu-Kerbau 1971 itu memberi kuasa kepada pihaknya untuk menjalankan pendakwaan di mahkamah.

Katanya pihak berkuasa tempatan itu juga boleh mengurung mana-mana lembu atau kerbau yang ditangkap serta disimpan di suatu tempat kurungan khas haiwan atas risiko penjaganya.

“Sebelum mengambil semula haiwan ternakan mereka, pemilik perlu membayar kos tangkapan, kurungan dan makanan haiwan terbabit.

“Setelah membuat pembayaran, penjaga boleh menuntut kembali lembu atau kerbau berkenaan di bawah Seksyen 4(4) Enakmen Mengawal Lembu-Kerbau 1971.

“Sehingga hari ini, MDKS kerap menerima aduan berhubung kacau ganggu haiwan ternakan di kawasan kediaman mahupun jalan raya,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu pihaknya menjalankan operasi tangkapan lembu di sekitar kawasan Bestari Jaya, Ijok dan Jeram.

Pada operasi itu, sebanyak empat ekor lembu berjaya ditangkap di Taman Cahaya, Bestari Jaya, Jalan Bukit Rotan dan Taman Permai, Jeram.

Rahilah berkata, dua kompaun turut dikeluarkan serta merta kepada pemilik ternakan di Taman Permai, Jeram dan Taman Cahaya Dua atas kesalahan sama.

“Operasi ini bertujuan mencegah haiwan peliharaan seperti lembu atau kerbau supaya tidak berkeliaran di kawasan awam dan untuk kebaikan semua pihak terutama pengguna jalan raya.

“Masyarakat digalak untuk menyalurkan aduan berkaitan secara dalam talian di selangor.spab.gov.my atau hubungi 03-32891439,” katanya.