Categories
AGENSI SELANGOR

UiTM Orienteering Antarabangsa 2019 terima penyertaan 11 negara

SHAH ALAM, 21 NOV: Seramai 459 peserta dari 11 negara setakat ini mengesahkan penyertaan di Kejohanan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Orienteering Antarabangsa 2019 pada 6 hingga 8 Disember ini.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof Dr Azizan Abdullah berkata, kejohanan selama tiga hari itu bakal diadakan di Kampus UiTM Shah Alam dan Taman Tasik Shah Alam, Seksyen 14, di sini.

“Antara negara terbabit adalah Belgium, Jepun, China, Estonia, Singapura, Taiwan, Hong Kong, Indonesia, Sri Lanka, Filipina dan Bangladesh.

“Manakala, penyertaan tempatan pula terdiri daripada peserta dari UiTM, Universiti Malaysia Pahang, Universiti Islam Antarabangsa, Politeknik Sultan Ahmad Shah, Politeknik Terengganu, Kolej Komuniti Kuala Langat dan Maksak Penjara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Sidang Media Sempena Kejohanan UiTM Orienteering Antarabangsa 2019 di Kompleks Sukan UiTM, di sini, hari ini.

Katanya, orienteering adalah sukan yang memerlukan kemahiran tinggi berkaitan pembacaan peta dan kompas malahan ia semakin berkembang dalam kalangan rakyat di Malaysia.

“UiTM mengambil inisiatif untuk menganjurkan sukan ini bertujuan mempopularkan lagi industri orienteering di Malaysia selain meletakkan nama universiti ini di peta orienteering antarabangsa.

“UiTM pernah beberapa kali menganjurkan kejohanan ini di peringkat kebangsaan dan kita juga pemegang ‘Malaysia Book of Record’ apabila penyertaan paling ramai pada 2010.

“Selain itu, kita juga pernah menghantar atlet ke Kejohanan Orientering Universiti Dunia di Finland pada tahun lalu,” katanya.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Prof Dr. Azizan Abdullah (tengah) bersama wakil penaja selepas Sidang Media UiTM International Orienteering Championship di UiTM, Shah Alam pada 21 November 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Dr Azizan berkata, Kejohanan ini juga bertaraf antarabangsa dan mendapat pengiktirafan Persekutuan Orienteering Antarabangsa serta sokongan penuh dari Persatuan Orienteering Kebangsaan juga Majlis Bandaraya Shah Alam.

Katanya, tiga kategori dipertandingkan membabitkan wanita dan lelaki iaitu Acara Ranking Kebangsaan yang akan diadakan pada 6 Disember di Taman Tasik Shah Alam, Acara Kedudukan Dunia (7 Disember) serta Acara Geganti (8 Disember) masing-masing di Kampus UiTM Shah Alam.