Categories
AGENDA NASIONAL

Kedah mula dilanda cuaca panas, kering luar biasa

ALOR SETAR, 24 DIS: Keadaan cuaca panas dan kering luar biasa kebelakangan ini menyebabkan paras air empangan di Kedah turun kepada 60 peratus ekoran pelepasan air terpaksa dilakukan bagi menampung keperluan sektor pertanian negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata, keadaan itu sedikit membimbangkan sekiranya tiada hujan dalam masa terdekat dan lebih banyak air daripada semua empangan perlu dilepaskan.

“Kebelakangan ini kita hadapi musim kering luar biasa, sepatutnya bulan Disember ini ada hujan dan sekarang sudah masuk musim kedua untuk tanam padi tapi bekalan air kurang daripada sepatutnya kerana hujan pun kurang.

“Kita terpaksa lepaskan air dari empangan dan kalau ini berterusan tanpa hujan, kita bimbang ia akan memberi kesan kepada musim pertama tanaman padi tahun depan,” katanya ketika bersiaran secara langsung di Radio Malaysia Kedahfm di sini, semalam.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak khususnya rakyat yang beragama Islam agar melakukan solat hajat bagi mendoakan supaya hujan di negeri jelapang padi itu.

Sementara itu, Mukhriz berkata, kadar air tidak berhasil atau Non Revenue Water (NRW) di negeri ini masih berada pada tahap yang tinggi iaitu sebanyak 48 peratus.

“Bagi setiap 1,000 liter air, yang bocor atau hilang adalah sebanyak 480 liter. Macam-macam kaedah kerajaan negeri telah jalankan dan terbaharu saya dimaklumkan oleh Exco Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Tenaga bahawa kadar NRW kini adalah 45 peratus.

“Kerja-kerja nak baiki paip yang rosak ini makan belanja besar dan sebenarnya masing-masing (rakyat) juga boleh menyumbang (jimat air), salah satunya dengan mengurangkan jumlah air kita guna setiap hari,” katanya.

– BERNAMA