Categories
AGENSI SELANGOR

Kempen SHMMP Krismas 2019 elak peniaga naik harga barang

GOMBAK, 23 DIS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menguatkuasakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2019 bagi memastikan peniaga tidak menaikan harga barang keperluan menjelang perayaan itu.

Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, kempen itu membabitkan 19 barangan pengguna iaitu 14 membabitkan barang di semenanjung dan ditambah lima lagi barang bagi Sabah dan Sarawak.

“Tempoh kuat kuasa bagi SHMMP Krismas 2019 selama 10 hari bermula 22 hingga 31 Disember 2019 iaitu tiga hari sebelum perayaan, pada hari perayaan dan enam hari selepas perayaan berbanding 5 hari pelaksanaannya sebelum ini.

“Antara barangan terlibat dalam kempen kali ini seperti ayam belanda, ayam hidup, ayam standard, daging kambing, cili benggala hijau, tomato, telur ayam dan ubi kentang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada SHMMP Krismas Tahun 2019 di Pasaraya Giant Hypermarket Batu Caves di sini, hari ini.

Muhammad Zikril berkata, selain pertambahan tempoh kempen, KPDNHEP turut menambah barangan berbanding hanya 16 jenis pada tahun sebelum ini.

Katanya, skim ini dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatuan 2011.

Muhammad Zikril berkata, pihak KPDNHEP turut mengadakan pemeriksaan di tempat tumpuan orang ramai membeli- belah bagi melindungi pengguna daripada aktiviti pengambilan keuntungan berlebihan oleh peniaga yang tidak beretika semasa musim perayaan.