Categories
AGENDA NASIONAL

Kes saman fitnah selesai, Azwanddin mohon maaf kepada Waytha Moorthy

KUALA LUMPUR, 9 DIS: Kes saman fitnah difailkan P. Waytha Moorthy terhadap Datuk Azwanddin Hamzah berhubung ucapan dalam satu perhimpunan anjuran Gerakan Rakyat Malaysia (Geras) selesai selepas Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM) itu bersetuju untuk membuat permohonan maaf kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkenaan.

Peguam Annou Xavier, yang mewakili Waytha Moorthy memberitahu Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Rohani Ismail bahawa kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikan kes berkenaan.

“Defendan (Azwanddin) akan membuat satu permintaan maaf kepada plaintif (Waytha Moorthy) yang diterbitkan di tiga laman berita iaitu Berita Harian, Makkal Osai dan di Facebook defendan.

“Defendan akan membayar kepada plaintif sebanyak RM90,000 sebagai ganti rugi am dalam masa 30 hari dari tarikh penghakiman hari ini sama ada secara bank deraf atau pemindahan online kepada firma peguamcara plaintif, Tetuan Azri Lee Swee Seng & Co,” katanya ketika membacakan deraf penghakiman persetujuan pada prosiding kes itu yang ditetapkan untuk perbicaraan hari ini.

Annou berkata defendan secara sendiri dan/atau pekerjanya dan/atau sesiapa sahaja adalah dilarang mengucapkan, menerbitkan semula, meneruskan penerbitan atau menyebabkan untuk dicetak, diterbitkan atau disalurkan kenyataan-kenyataan fitnah itu.

Azwanddin bersetuju dengan terma penghakiman persetujuan itu dan Rohani merekodkan penghakiman persetujuan pihak-pihak terlibat.

Waytha Moorthy ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata beliau bersetuju dengan terma berkenaan.

Pada 13 Februari lepas, Waytha Moorthy, 53, selaku plaintif memfailkan saman itu selepas mendakwa Azwanddin, 46, yang dinamakan sebagai defendan telah mengeluarkan perkataan fitnah terhadapnya ketika berucap dalam satu perhimpunan anjuran Geras di Dataran Seni Klang, pada 25 Disember 2018.

Dalam penyataan tuntutan, plaintif mendakwa defendan juga telah menyebabkan ucapan dan perkataan fitnah itu diterbitkan semula di pelbagai media cetak, portal berita dan laman web selain mendakwa ucapan berkenaan yang dimuat naik ke laman Facebook defendan telah mendapat 187,912 paparan, 4,705 like, 943 kongsian dan 362 komen setakat 8 Februari 2019.

Dakwanya ucapan itu adalah tidak benar dan berniat jahat selain mendakwa ia memberi kesan terhadap reputasinya sebagai senator dan sebagai Menteri Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial.

Oleh itu, plaintif memohon perintah injunksi untuk menghalang defendan atau ejennya daripada mengucapkan atau menerbitkan ucapan memfitnah tersebut di dalam mana-mana media, secara bercetak, atas talian atau sebaliknya serta memohon ganti rugi am, teladan, terlampau, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Azwanddin dalam penyataan pembelaan yang difailkan pada April lepas, menafikan secara keseluruhan pernyataan tuntutan plaintif kerana kenyataan defendan tidak melibatkan plaintif secara eksklusif tetapi untuk menangani isu-isu politik yang lebih luas.

-BERNAMA