Categories
AGENDA SUKANKINI

Malaysia bazir peluang raih kemenangan dengan UAE

SERDANG, 15 DIS: Malaysia hampir mencatat kemenangan dramatik dalam perlawanan berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada aksi pertama Kejohanan Ragbi Asia Bawah 19 Tahun (B-19) Divisyen 2 yang menyaksikan kedua-dua negara terikat 12-12 di Padang A, Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, hari ini.

Skuad bimbingan Ketua Jurulatih, Mohd Farid Syazwan gagal menyempurnakan conversion diambil Muhammad Faiq Aslah Mohd Satar setelah mengikat kedudukan 12-12 di minit akhir permainan menerusi try Noor Alif Ikhmal Noor Hisham pada minit ke-70.

Aksi yang berlangsung dalam keadaan hujan dan cuaca mendung itu dihadiri ratusan penyokong, namun sebarang try gagal dilakukan kedua-dua pasukan pada separuh masa pertama.

Malaysia tidak menunggu lama untuk mendahului 7-0 apabila Adam Arif Alias berjaya melakukan try pada minit ke-39 sebelum Muhammad Faiq menyempurnakan conversion.

UAE bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-47 melalui try Stuart Duncan dan conversion oleh Justin Brits sebelum Hamish Anderson meletakkan UAE mendahului 12-7 pada minit ke-62.

“Kita memang dah persiapkan barisan pemain untuk berjumpa pasukan yang memiliki pemain berfizikal besar tetapi dalam masa sama kita bekerja keras berlatih untuk mengekang asakan mereka.

“Saya berbangga dengan pemain saya kerana mereka bermain bermati-matian untuk ikut strategi pasukan, cuma kesilapan dilakukan menyebabkan kita kena (dihukum) dua try,” kata Mohd Farid kepada pemberita selepas tamat perlawanan.

Malaysia dan UAE akan kembali berentap dalam aksi kedua Rabu ini di venue sama dan pemenang akan dinaikkan ke Divisyen 1 pada musim 2020.

Mohd Farid menjelaskan beraksi di Divisyen 1 merupakan misi pasukannya.

“Untuk perlawanan kedua kita akan fokus daripada aspek teknikal pasukan. Berdasarkan perlawanan hari ini kita sudah mengenal pasti beberapa kelemahan pasukan kawan.

“Kita akan gunakan sepenuhnya kelemahan mereka untuk memastikan pasukan remaja kita menang dan capai misi beraksi di Divisyen 1 musim depan,” jelas Mohd Farid.

– BERNAMA