Categories
AGENDA NASIONAL

Malindo Air sahkan penerbangan OD315 ke KL berpatah balik

KUALA LUMPUR, 3 DIS: Malindo Air mengesahkan penerbangan OD315 dari Jakarta, Indonesia ke Kuala Lumpur petang semalam terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta ekoran masalah tekanan.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat penerbangan itu menjelaskan kru operasi mendapati pesawat itu mengalami masalah tekanan apabila topeng oksigen tiba-tiba terkeluar.

“Juruterbang kami segera menjalankan senarai semak kecemasan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) dan memaklumkan menara kawalan trafik udara sebelum mendarat ke Jakarta,” katanya.

Pesawat selamat mendarat pada pukul 3.17 petang waktu Jakarta dan tiada kecederaan dilaporkan.

Penerbangan dengan pesawat jenis Boeing 737-900ER itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada jam 2.42 petang waktu tempatan, membawa 85 penumpang dewasa dan enam anak kapal.

Pesawat itu sepatutnya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 5.20 petang semalam.

“Para penumpang telah diurus oleh kakitangan kami dan mengatur penginapan serta penerbangan mereka dengan pesawat lain ke Kuala Lumpur,” menurut kenyataan itu.

– BERNAMA