Categories
AGENDA NASIONAL

Malindo Air gantung dua lagi penerbangan Malaysia-China

KUALA LUMPUR, 3 FEB: Malindo Air menggantung dua lagi penerbangan antarabangsa antara Malaysia dan China berikutan penularan Koronovirus 2019 di Wuhan, China.

Menurut kenyataan Malindo Air hari ini, penerbangan itu adalah bagi laluan Kota Kinabalu – Tianjin – Kota Kinabalu berkuat kuasa bagi tempoh sementara iaitu 1-29 Feb, 2020 dan Johor Bahru – Guangzhou – Johor Baru berkuat kuasa 11–29, Feb, 2020.

Syarikat penerbangan itu sebelum ini mengumumkan penggantungan sementara perkhidmatan tiga kali seminggu antara Kota Kinabalu dan Wuhan berkuat kuasa 24 Jan, 2020 sehingga makluman selanjutnya.

Malindo Air mengendalikan tiga penerbangan mingguan antara Kota Kinabalu dan Tianjin dan tiga lagi penerbangan mingguan antara Johor Bahru dan Guangzhou.

“Penumpang yang mempunyai tempahan sah bagi perjalanan antara Kota Kinabalu dan Tianjin serta bagi laluan Johor Bahru dan Guangzhou boleh menghubungi kami di nombor +603-78415388 atau mengunjungi pejabat tiket bagi bantuan lanjut.

“Malindo Air juga akan terus memantau situasi di China kerana keselamatan penumpang dan pekerja sememangnya menjadi keutamaan kami,” katanya.

Syarikat penerbangan akan turut memaklumkan sebarang perkembangan kepada penumpang menerusi laman sesawang Malindo Air.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tujuh anak kapal Malindo Air dikuarantin 14 hari di China

KUALA LUMPUR, 26 JAN: Malindo Air mengesahkan bahawa tujuh anak kapalnya telah dikuarantin selama 14 hari di Zhengzhou, China kerana terdapat seorang penumpang dalam pesawat dari wilayah Hubei yang disyaki mempunyai 2019 novel koronavirus.

Menurut kenyataan yang dihantar dalam Facebook rasmi syarikat penerbangan itu, anak kapal tersebut mengendalikan pesawat dari Kuala Lumpur ke Zhengzhou pada 24 Januari (Jumaat).

“Malindo Air memantau rapi keadaan itu dan menyediakan bantuan yang diperlukan oleh anak kapal berkenaan serta pihak berkuasa di China, bagi meminimumkan penularan koronavirus itu.

“Penyaringan proaktif penumpang di lapangan dan kawalan yang lebih ketat ke atas pergerakan penumpang untuk semua penerbangan pergi dan dari tanah besar China sedang berjalan.

“Semua penumpang China dari wilayah Hubei (seperti yang ditunjukkan dalam pasport) mesti mengemukakan sijil perubatan untuk membuktikan bahawa mereka layak menaiki pesawat. Penumpang yang didapati tidak sesuai untuk perjalanan akan ditolak untuk menaiki penerbangan,” menurut kenyataan itu.

Penumpang boleh menghubungi pasukan Khidmat Pelanggan Malindo Air [email protected] atau hubungi +603-7841 5388 (8:00 pagi – 10 malam) untuk membatalkan atau mengubah rancangan perjalanan mereka.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Malindo Air sahkan penerbangan OD315 ke KL berpatah balik

KUALA LUMPUR, 3 DIS: Malindo Air mengesahkan penerbangan OD315 dari Jakarta, Indonesia ke Kuala Lumpur petang semalam terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta ekoran masalah tekanan.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat penerbangan itu menjelaskan kru operasi mendapati pesawat itu mengalami masalah tekanan apabila topeng oksigen tiba-tiba terkeluar.

“Juruterbang kami segera menjalankan senarai semak kecemasan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) dan memaklumkan menara kawalan trafik udara sebelum mendarat ke Jakarta,” katanya.

Pesawat selamat mendarat pada pukul 3.17 petang waktu Jakarta dan tiada kecederaan dilaporkan.

Penerbangan dengan pesawat jenis Boeing 737-900ER itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada jam 2.42 petang waktu tempatan, membawa 85 penumpang dewasa dan enam anak kapal.

Pesawat itu sepatutnya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 5.20 petang semalam.

“Para penumpang telah diurus oleh kakitangan kami dan mengatur penginapan serta penerbangan mereka dengan pesawat lain ke Kuala Lumpur,” menurut kenyataan itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Isu teknikal punca pesawat Malindo Air lewat

KUALA LUMPUR, 29 OKT: Malindo Air mengalami masalah gangguan teknikal bagi kendalian operasi daratannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 27 Oktober lepas yang menyebabkan kelewatan penerbangan ke bandar Tiruchirappalli di Tamil Nadu.

Masalah itu telah menyebabkan berlakunya pertengkaran antara petugas operasi dengan beberapa orang penumpang, demikian menurut syarikat itu dalam satu kenyataan, hari ini.

“Selepas gangguan teknikal itu dapat dikenal pasti, para petugas teknikal dan jurutera kami yang sememangnya terlatih telah melaksanakan prosedur operasi standard bagi memastikan pesawat itu layak untuk meneruskan penerbangan.

“Malindo Air amat menitikberatkan kesejahteraan dan keselamatan penumpang secara serius. Kami juga telah melaksanakan langkah tambahan demi kelancaran operasi penerbangan kami dan kejadian ini adalah sesuatu yang kami amat kesali,” katanya.

Menurut Malindo Air, pesawat terbabit bagaimanapun telah berlepas mengikut jadual baharu dan kemudahan makanan serta penginapan turut disediakan sepanjang tempoh kelewatan tersebut.

Syarikat itu juga menyuarakan rasa kesal terhadap kesulitan akibat kelewatan itu dan akan menjalankan satu siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian berkenaan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Malindo lancar laluan KL-Denpasar (Bali)-Sydney

SYNDEY, 18 OGOS: Malindo Air telah melengkapkan laluan di Australia dengan pelancaran laluan Kuala Lumpur-Denpasar (Bali)-Sydney.

Sydney merupakan destinasi bandar utama Australia kelima syarikat penerbangan itu selepas Perth, Brisbane, Melbourne dan Adelaide.

Ketua Pegawai Eksekutif, Chandran Rama Muthy berkata, syarikat penerbangan itu bersedia untuk meningkatkan penerbangannya ke Sydney daripada sekali sehari kepada dua penerbangan sehari pada musim puncak untuk menampung permintaan yang meningkat daripada penumpang.

“Jika anda tidak ke Sydney, anda terlepas kawasan penting di Australia. Misalnya, Perth mempunyai jumlah penduduk seramai dua juta, manakala Sydney mempunyai enam juta penduduk.

“Ini merupakan pencapaian yang baik bagi Malindo, dan saya percaya Sydney merupakan lokasi akhir dalam laluan syarikat penerbangan itu bagi bandar-bandar metro di Australia,” katanya kepada pemberita Malaysia di luar penerbangan pertama Kuala Lumpur-Denpasar (Bali)-Sydney pada Khamis lepas.

Chandran berkata, trafik penumpang udara Malindo dijangka meningkat dengan tambahan terkini kepada rangkaian penerbangannya.

“Malindo pada masa ini melakukan penerbangan ke 17 negara di rantau Asia Selatan dan Asia Pasifik, dan dengan laluan tambahan itu, kami menjangka menyaksikan pertumbuhan dalam trafik penumpang,” katanya, sambil menambah syarikat penerbangan itu menjangka dapat menarik 100,000 penumpang setahun untuk penerbangan Sydney.

Mengenai masa depan, syarikat penerbangan itu menyasarkan untuk membawa seramai tujuh juta penumpang pada tahun ini, dan merancang untuk melancarkan penerbangannya ke Da Nang, Vietnam pada Oktober ini untuk menampung permintaan, terutamanya pada musim cuti pada suku akhir 2019.

Sehingga Mac 2019, Malindo mempunyai 41 pesawat, dan merancang untuk membeli beberapa lagi pesawat 737-800 pada separuh kedua tahun ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Malindo Air rancakkan semula permintaan kelas perniagaan

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Malindo Air memperkenalkan kategori tambang kelas perniagaan baharu menerusi pilihan Kelas Perniagaan Flexi dan Kelas Perniagaan Promo.

Menurut syarikat itu, Kelas Perniagaan Flexi mengekalkan ciri tambang penuh manakala Kelas Perniagaan Promo sesuai untuk mereka yang mahu terbang dalam kelas perniagaan pada harga lebih rendah.

“Kedua-dua kategori tambang kelas perniagaan itu menawarkan elaun bagasi berdaftar selain sehingga dua bagasi kabin dengan maksimum berat 10 kilogram (kg).

“Hidangan lengkap atau snek dalam pesawat, pilihan tempat duduk, mata Malindo Miles, tempat duduk kulit yang luas berserta skrin hiburan peribadi dalam pesawat untuk perjalanan yang menyenangkan juga ditawarkan,” katanya.

Malindo Air berkata, Kelas Perniagaan Flexi juga ditampilkan dengan ciri elaun bagasi 40 kg, tiga kali ganda mata Malindo Miles bagi setiap ringgit yang dibelanjakan serta keistimewaan akses bilik istirehat di lapangan terbang dengan kemudahan yang tersedia.

Kelas Perniagaan Promo juga menawarkan elaun bagasi 30 kg dan 1.5 kali ganda mata Malindo Miles, menurutnya.

Ketua Pegawai Eksekutif, Chandran Rama Muthy berkata, berasaskan penyesuaian itu, pihaknya menjadikan kelas perniagaan lebih dapat diakses oleh mereka yang mementingkan kos.

“Dalam usaha menjadikan produk kami sentiasa relevan, Malindo Air berusaha melaksanakan pelbagai penambahbaikan produk demi memenuhi permintaan penumpang dan rakan kongsi peniagaan perjalanan.

“Kami mahu terus menumpukan pelanggan dan memberi pengalaman penerbangan lebih baik setiap kali mereka terbang bersama Malindo Air,” katanya.

Penambahbaikan juga dilaksanakan terhadap elaun bagasi berdaftar Ekonomi Flexi/Shuttle (bagi penerbangan menggunakan pesawat ATR) dan Ekonomi Value (bagi penerbangan dengan pesawat jet).

Elaun bagasi Ekonomi Flexi/Shuttle ditambah kepada 30 kg berbanding 10 kg sebelum ini, manakala bagi Ekonomi Value pula ia ditambah sebanyak lima kg kepada 20 kg, dengan semua perubahan ini hanya terpakai ke atas pesawat yang dikendalikan Malindo Air sahaja.

Malindo Air merupakan syarikat penerbangan Malaysia dengan hab utama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Subang Skypark di Selangor.

Kumpulan pesawatnya juga meningkat kepada 13 pesawat jenis ATR72-600 dan 29 pesawat Boeing 737 setakat Julai 2019. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Malindo mula penerbangan ke Sydney 14 Ogos

KUALA LUMPUR, 3 JUN: Malindo Air akan memulakan perkhidmatan laluan baharuya dari Kuala Lumpur ke Sydney, Australia menerusi Denpasar (Bali), Indonesia, dari 14 Ogos, 2019.

Perkhidmatan itu ditawarkan setiap hari dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan berhenti selama sejam di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai (Bali), sebelum meneruskan perjalanan ke Sydney.

Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air Chandran Rama Muthy berkata Sydney akan menjadi destinasi kelima Malindo Air bagi rangkaian perkhidmatannya di Australia, selepas Perth, Brisbane, Melbourne dan Adelaide.

“Kami percaya rangkaian perhubungan ini akan menarik pelancong peniagaan dan percutian dan menyokong dalam meningkatkan trafik penumpang dan mempromosikan ekonomi setempat dan pelancongan,” katanya dalam kenyataan.

Tempahan kini boleh dibuat pada tambang promosi perjalanan sehala dari RM799 untuk Kelas Ekonomi dan RM2,899 untuk Kelas Perniagaan. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Malindo Air lancar penerbangan pertama ke Adelaide

KUALA LUMPUR, 17 APRIL: Malindo Air melancarkan penerbangan pertamanya ke Adelaide melalui Denpasar (Bali), bermula hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chandran Rama Muthy berkata, Adelaide adalah destinasi keempat dalam rangkaian penerbangan syarikat itu di Australia selepas Perth, Brisbane dan Melbourne.

“Ketika ini, kami melakukan penerbangan empat kali seminggu antara Kuala Lumpur dan Adelaide menerusi Denpasar. Banyak perancangan kami untuk ke Australia memandangkan kami ingin terus mencari peluang untuk beroperasi lebih kerap ke sana selain mewujudkan destinasi baharu.

“Langkah ini sejajar hasrat kami untuk meningkatkan trafik penumpang di lapangan terbang tertentu, di samping mempromosi pelancongan tempatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Malaysia Airports, Raja Azmi Raja Nazuddin berkata, pihaknya mengalu-alukan perkhidmatan baharu Malindo Air yang akan memperkukuh kesalinghubungan antara Malaysia dan Australia.

“Tarikan pelancongan dan peluang menjalankan perniagaan di Malaysia serta Australia akan memastikan perkhidmatan baharu ini berjaya. Kami mengucapkan selamat maju jaya kepada Malindo Air,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia Airports akan terus bekerjasama dengan kerajaan bagi memastikan pengendali lapangan terbang memaksimumkan keberkesanan iniasiatif pemasarannya untuk menarik syarikat penerbangan baharu dan mewujudkan laluan baharu.

“Malaysia Airports turut menggalakkan syarikat penerbangan sedia ada untuk meningkatkan kekerapan penerbangan selain memperkenal laluan baharu supaya pelanggan mendapat pilihan dan kesalinghubungan yang lebih baik,” katanya.

Penerbangan antara Kuala Lumpur dan Adelaide menerusi Denpasar beroperasi pada Ahad, Selasa, Khamis dan Sabtu menggunakan pesawat jenis Boeing 737-800/900 yang menawarkan 12 kelas perniagaan dan 150/168 tempat duduk kelas ekonomi.

Tambang promosi sehala bagi kelas ekonomi berharga RM679, manakala RM2,399 bagi kelas perniagaan.

Tempahan penerbangan boleh dilakukan menerusi laman sesawang www.malindoair.com, kaunter tiket, pusat khidmat pelanggan dan agensi pelancongan terpilih. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Malindo Air perkenal peruntukan baharu bagasi

KUALA LUMPUR, 19 FEB: Malindo Air memperkenalkan peruntukan baharu berat bagasi, 15 kilogram (kg) dan 30 kg masing-masing, bagi penumpang kelas ekonomi melalui opsyen tambang ‘Nilai dan Fleksi’, daripada 25 kg sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chandran Rama Muthy berkata, pelarasan yang berkuat kuasa pada 15 Februari lalu dibuat selaras dengan perubahan dalam industri serta permintaan penumpang.

Bagaimanapun, katanya, peruntukan bagasi bagi kelas perniagaan dan penerbangan ATR, masing-masing kekal pada 40 kg dan 15 kg.

“Opsyen ini membolehkan penumpang yang mementingkan kos memperoleh tambang udara lebih kompetitif dan memenuhi keperluan mereka.

“Kami mahu produk kami relevan kepada pasaran dan menawarkan pengalaman penerbangan lebih baik kepada penumpang kami,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, penumpang yang sudah menempah sebelum dan pada tarikh perjalanan pada 15 Februari, dibenarkan untuk membawa bagasi dengan muatan asal seperti yang dinyatakan dalam jadual penerbangan.

“Penumpang juga boleh menambah nilai peruntukan bagasi semasa proses tempahan, melalui “Manage My Booking”, pejabat tiket Malindo Air, pusat perkhidmatan pelanggan dan ejen perjalanan terpilih,” katanya.

*Sumber: BERNAMA

Categories
SUKANKINI

Malindo Air rakan penerbangan rasmi UiTM FC

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 13 FEB: Syarikat penerbangan Malindo Air bersetuju menjadi rakan penerbangan rasmi bagi pasukan UiTM FC, sepanjang musim 2019.

Presiden UiTM FC, Prof Datuk Dr Abdullah Mohamad Said berkata, tajaan itu membabitkan perjalanan pasukan Liga Perdana, Piala Presiden dan Piala Belia UiTM FC ketika bertandang ke gelanggang lawan.

“Tajaan ini selama setahun untuk kesemua perlawanan ‘away’ yang memerlukan penerbangan.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Malindo Air kerana memberikan sokongan padu kepada UiTM FC,” katanya pada program Ceramah dan Ikrar Bebas Rasuah serta majlis memperkenalkan Malindo Air sebagai rakan penerbangan rasmi UiTM FC, di Dewan Kompleks Sukan UiTM di sini, semalam.

Pada masa sama, beliau berharap penajaan itu menjadi pembakar semangat kepada pemain untuk lebih berusaha memberikan persembahan terbaik.

Katanya, pemain dan pengurusan pasukan juga perlu beretika serta menjaga intergriti bagi memastikan nama baik pasukan juga Universiti Teknologi Mara (UiTM) terpelihara.

“Jika anggota pasukan terbabit dengan aktiviti tidak bermoral, ia akan menimbulkan perasaan tidak selesa bagi penaja meneruskan tajaan mereka,” katanya.

Majlis itu turut dihadiri Pengarah Produk Malindo Air, Harris Abdullah.

Categories
NASIONAL

Tiga syarikat tambah penerbangan tambang rendah sempena Tahun Baharu Cina

SEPANG, 1 FEB: Tiga syarikat penerbangan tempatan menambah sebanyak 376 penerbangan lewat malam pada tambang rendah bagi tempoh antara 30 Januari dan 12 Februari bersempena perayaan Tahun Baharu Cina.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, syarikat penerbangan terbabit, Malaysia Airlines, AirAsia dan Malindo Air turut berikrar menambah kapasiti 64,382 tempat duduk membabitkan 14 laluan khusus ​​​​​bagi memenuhi permintaan destinasi popular seperti Pulau Pinang, Kuching, Kota Kinabalu, Sibu dan Miri.

“Tahun lalu, kerajaan telah meminta Suruhanhaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) melakukan kajian terhadap tambang penerbangan yang mahal (dikenakan syarikat penerbangan) ketika tempoh puncak perjalanan di negara ini dan mencari pilihan bagi tawaran harga berpatutan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelepasan penerbangan tambahan AirAsia sempena Tahun Baharu Cina di Lapangan Terbang Antrabangsa Kuala Lumpur 2 (Klia2) di sini, malam tadi, lapor BERNAMA.

Mengulas selanjutnya, Loke berkata, semua tambang bagi penerbangan tambahan lewat malam itu berkurangan sebanyak 25 peratus berbanding tahun lalu.

“Bagi laluan AirAsia Kuala Lumpur-Sibu misalnya, tambang tahun lalu kira-kira RM1,000 tetapi tahun ini, kerajaan telah bersetuju dengan tambang rendah RM149 untuk semua tempat duduk.

“Ini adalah inisiatif kami bagi meringkan kos sara hidup,” katanya.

Categories
NASIONAL

Malindo Air tambah 26 penerbangan domestik sempena PRU14

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 17 APR: Sebanyak 26 penerbangan domestik Malindo Air ditambah sempena Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14), selepas menerima permintaan tinggi daripada rakyat Malaysia yang ingin pulang mengundi pada 9 Mei ini.

Syarikat penerbangan itu dalam kenyataan berkata, penerbangan tambahan berkenaan hanya dibuat pada 8 hingga 10 Mei dan sah melalui pembelian dalam talian, kaunter tiket Malindo Air dan ejen pelancongan di Malaysia.

“Bagi laluan Kota Kinabalu dan Kuching, sebanyak 16 penerbangan tambahan dibuat membabitkan 2,592 tempat duduk.

“Di samping itu, 10 penerbangan membabitkan 1,620 tempat duduk tambahan dibuat untuk laluan di Semenanjung Malaysia termasuk Pulau Pinang dan Kota Bharu,” katanya.

Sementara itu, Malindo Air sebelum ini mengumumkan pengecualian bayaran penalti untuk pembelian semula tiket dan penukaran tarikh bagi tiket yang dikeluarkan pada atau sebelum 10 April menerusi pusat panggilan dan pejabat tiket sempena PRU14.

“Tambang Malindo Air adalah termasuk yuran bagasi 15 kilogram (kg) bagi penerbangan dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

“Bagi tambang untuk penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), ia termasuk yuran bagasi sebanyak 25kg dan 40kg masing-masing untuk kelas ekonomi dan perniagaan,” katanya.

Sebarang maklumat lanjut berkenaan aktiviti dan promosi terkini Malindo Air boleh melayari Twitter (https://twitter.com/malindoair), Facebook (facebook.com/MalindoAirMalaysia) dan Instagram (instagram.com/malindoair).