Categories
AGENDA NASIONAL

MB: Kasih sayang, keharmonian resipi kejayaan negara

KLANG, 15 DIS: Hubungan persaudaraan, kasih sayang dan keharmonian antara keluarga juga masyarakat menjadi tunjang kejayaan negara ini selama lebih 62 tahun.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kedamaian itu perlu dipertahan selaras titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sempena Hari Keputeraan baginda yang ke-74, pada 11 Disember lalu.

“Tidak dinafikan, kesenjangan ekonomi yang berjaya dirapatkan sangat membantu dalam pembinaan bangsa.

“Untuk itu, penting untuk digerakkan langkah yang perlu di peringkat Kerajaan Persekutuan mahupun Kerajaan Negeri dalam mengekalkan kestabilan politik dan ekonomi bagi membawa Malaysia ke tahap yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Krismas peringkat Selangor 2019 di Perkarangan Pusat Borong Beli Belah GM Klang, di sini malam tadi.

Amirudin berkata bertepatan dengan sambutan Krismas, Jesus Christ juga pernah berpesan supaya sentiasa menjaga yang sakit, memberi makan kepada yang lapar dan mengalukan tetamu tanpa mengira latar belakang.

“Seperti yang dinukil dalam Injil Matthew 7:12 dan juga Luke 6:31, pesan untuk “melayan seseorang seperti mana kita ingin dilayani” menjadi tema besar apa yang dipanggil sebagai Golden Rule (Peraturan Emas) dalam perkembangan moral dan etika.

“Malah, untuk umat di Malaysia yang rata-ratanya Muslim, tidaklah janggal nasihat sebegitu apabila ia seiring sabda Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW,” katanya.