Categories
AGENDA NASIONAL

Perkim mahu perluas program kutipan dana buat rakyat Palestin

SEREMBAN, 31 DIS: Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) merancang untuk memperluaskan program kutipan dana sebagai usaha untuk membantu rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman Israel.

Ketua Wanita Perkim Kebangsaan, Tunku Puan Sri Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj berkata, kutipan dana itu bagi meringankan beban rakyat di sana terutama kanak-kanak, wanita dan warga emas.

“Walaupun kita tidak mampu pergi ke sana tetapi apabila kita memberi sokongan serta sumbangan dana seperti ini ia mampu meringankan beban mereka di sana.

“Kita sebelum ini memang ada menjalankan kutipan dana tetapi tidaklah secara berskala besar seperti yang dilakukan Perkim Seremban, jadi mengambil contoh dari Perkim Seremban itu sendiri kita rancang untuk perluaskan program kutipan dana ini,” katanya kepada pemberita selepas program ‘Perjuangan Titisan Air Mata’ Majlis Amal Mahabbah Palestin di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Wanita Perkim Seremban, Gharizah Hashim berkata, program ini merupakan kali kedua dianjurkan bagi mengumpul dana untuk disalurkan kepada rakyat di Palestin.

“Hasil kutipan dana ini bagi meringankan beban rakyat di sana memandangkan perubatan, makanan, pakaian tidak mencukupi terutama bagi kanak-kanak,” katanya.

Program anjuran Perkim Seremban dengan kerjasama Rumah Ngaji Negeri Sembilan itu disertai kira-kira 500 peserta terdiri daripada ahli Perkim di negeri ini, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam.

– BERNAMA