Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PM tiba di Doha untuk lawatan empat hari

DOHA, 12 DIS: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Doha malam tadi untuk memulakan lawatan rasmi empat hari ke Qatar.

Sebaik sahaja pesawat khas mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad di ibu negara Qatar di sini pada 9.15 malam waktu tempatan (2.15 pagi Khamis waktu Malaysia), Dr Mahathir dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, disambut oleh Menteri Perdagangan dan Industri Qatar Ali bin Ahmed Al Kuwari, serta pegawai kanan dari kedua-dua negara.

Delegasi Malaysia termasuk Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

Ini merupakan lawatan kali pertama Dr Mahathir ke Qatar selepas dilantik sebagai perdana menteri Malaysia ketujuh, Mei tahun lalu.

Lawatan itu adalah atas undangan Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, dan kedua-dua pemimpin dijadualkan mengadakan menyuarat untuk membincangkan pelbagai usaha yang diambil bagi meningkatkan hubungan dua hala yang terjalin sejak 1974.

Pada hari kedua lawatan (12 Disember), jadual padat menanti perdana menteri, antaranya termasuk mesyuarat dengan ‘Captains of Industry of Qatar’, sebelum diraikan dalam majlis sambutan rasmi di Amiri Diwan.

Amiri Diwan merupakan dewan pemerintahan Qatar. Ia adalah badan berdaulat dan pejabat pentadbiran Emir Qatar.

Selepas majlis itu Dr Mahathir dijadual mengadap Emir, dan mengadakan pertemuan empat mata dengan pemimpin itu.

Kedua-dua pemimpin juga akan menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) berhubung mewujudkan Jawatankuasa Bersama Peringkat Tinggi antara Menteri Luar kedua-dua negara, sebelum mereka menghadiri majlis makan tengah hari yang dihoskan oleh Emir sempena lawatan itu.

Pada tengah hari, Dr Mahathir dijadual bertemu dengan Pengerusi Yayasan Qatar, Sheikha Moza Nasser Al Missned, di mana mereka akan berbincang mengenai pelbagai aspek berkaitan pendidikan, selaras dengan hasrat yayasan itu untuk menjadi hub pendidikan di Timur Tengah.

Perdana Menteri kemudiannya akan mengadakan perjumpaan dengan diaspora Malaysia dan juga ahli-ahli perniagaan Malaysia di Doha.

Pada hari ketiga (13 Disember), antara program Dr Mahathir termasuk lawatan ke Universiti Doha di mana perdana menteri akan dianugerahkan dengan Ijazah Kedoktoran Kehormat dalam bidang Falsafah.

Susulan program perbincangan dua hala rasmi pada Sabtu (14 Disember), perdana menteri dijadualkan menghadiri Forum Doha 2019 di mana beliau akan menyampaikan ucaptama.

Di forum itu Dr Mahathir akan disampaikan dengan Anugerah Forum Doha oleh Emir Qatar. Perdana Menteri merupakan penerima pertama anugerah itu.

Anugerah itu disampaikan kepada Dr Mahathir sebagai pengiktirafan kepada kepimpinan beliau, suara dan juga inisiatifnya, dalam membangunkan dan mempromosi Malaysia, di samping peranannya di pentas antarabangsa.

Qatar adalah rakan dagang Malaysia kelima di Timur Tengah. Pada tahun 2018 jumlah dagangan antara kedua-dua negara berjumlah RM3.72 bilion, naik 29 peratus berbanding tahun 2017.

Eksport utama Malaysia ke Qatar pada tahun 2018 adalah mesin, pelbagai kelengkapan dan peralatan, makanan diproses, minyak sawit, produk berasaskan sawit, produk besi dan keluli, serta barang-barang buatan logam.

Import Malaysia dari Qatar adalah produk dan bahan kimia, minyak mentah, produk petroleum, pembuatan logam; serta produk besi dan keluli.

Perdana Menteri dijangka menamatkan lawatan dan kembali ke Malaysia pada tengah hari Sabtu (pukul 5 petang waktu Malaysia).

-BERNAMA