Categories
AGENDA NASIONAL

Pos Malaysia lancar kempen akhir tahun Pos Laju SendParcel

KUALA LUMPUR, 20 DIS: Pos Malaysia Bhd melancarkan kempen jualan akhir tahun untuk tempahan penghantaran pada platform dalam taliannya, Pos Laju SendParcel.

Sempena kempen itu, Pos Malaysia menawarkan RM5 bersih untuk barangan kurang daripada 5kg kepada pelanggan semasa dan berpotensi dengan nilai tambah tertinggi RM1,000 dan ke atas untuk penghantaran sebelum 31 Disember di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Syed Md Najib Syed Md Noor berkata, Pos Laju SendParcel menyediakan lebih banyak pilihan produk kepada orang ramai terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS), PKS mikro serta penggiat e-dagang.

“Promosi SendParcel akhir tahun bertepatan dengan tempoh perayaan Krismas dan sambutan tahun baharu. Inilah masa yang sesuai untuk pelanggan terutama eDagang untuk menikmati kadar yang baik dalam penyerahan pesanan dalam talian mereka, sambil menikmati manfaat yang kami tawarkan,” katanya dalam kenyataan.

Pos Laju SendParcel adalah sebahagian daripada usaha berterusan Pos Malaysia untuk meningkatkan pengalaman pelanggan dengan menawarkan kemudahan dalam menguruskan penghantaran pukal pada harga terbaik, sebut harga segera, perkhidmatan pengambilan percuma dan nota penghantaran yang dijana secara automatik termasuk kemudahan pelaporan dan pengesanan penghantaran.

Untuk mula menggunakan SendParcel, pelanggan dikehendaki membuka akaun dan memilih satu daripada lapan pakej tambah nilai yang didatangkan dengan kadar serta manfaat menarik, di www.sendparcel.poslaju.com.my

– BERNAMA