SHAH ALAM, 24 DIS: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan menutup lorong tambah nilai di semua plaza tol di bawah seliaannya mulai hari ini hingga 2 Januari ini bagi membantu melancarkan pergerakan trafik sempena cuti perayaan Krismas dan sambutan Tahun Baharu 2020.
PLUS dalam kenyataan semalam berkata, penutupan lorong tambah nilai 10 hari itu dilaksanakan sama seperti setiap musim perayaan lain yang bertujuan untuk mengurangkan kesesakan di lorong tersebut di semua plaza tol.
“Sehubungan itu, bagi memastikan perjalanan yang lebih selesa, PLUS menasihatkan pelanggan merancang perjalanan masing-masing dan paling utama menambah nilai kad Touch ‘n Go lebih awal bagi memastikan baki mencukupi,” katanya.
PLUS memaklumkan perkhidmatan e-Wallet PayDirect di lebuh raya kendaliannya belum dapat digunakan.
Pada musim perayaan ini, PLUS menjangkakan peningkatan jumlah trafik sebanyak 18 peratus kepada 2 juta kenderaan berbanding 1.7 juta kenderaan pada hari biasa.
“Oleh itu, perjalanan di semua plaza tol dijangka terjejas sekiranya masih ada pelanggan yang terkandas dan tidak dapat membuat transaksi tol kerana baki pada kad Touch ‘n Go tidak mencukupi. Apabila ini berlaku, ia mengganggu keselesaan dan perjalanan pelanggan lain,” katanya.
Bagaimanapun, jelas kenyataan itu, terdapat kira-kira 11,000 pusat tambah nilai kad Touch ‘n Go di seluruh negara yang merangkumi mesin pengeluaran wang automatik, pusat rehat dan rawat, stesen minyak, kedai serbaneka, pasar raya dan lain-lain lokasi.