Categories
EXCO SELANGOR

SUKMA 2022: Selangor bersaing rebut hak penganjuran

PETALING JAYA, 8 DIS: Tiga negeri bakal bersaing bersama Selangor bagi merebut hak penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 nanti.

EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, selain Selangor, negeri lain turut membida hak penganjuran adalah Sabah, Pulau Pinang dan Kedah.

“Kita telah masuk untuk membida untuk penganjuran SUKMA 2022 dan kita juga telah dimaklumkan ada tiga lagi negeri lain yang turut sama iaitu Sabah, Pulau Pinang dan Kedah.

“Kita sangat optimis peluang kita cerah untuk mendapat hak penganjuran kerana berdasarkan garis panduan diberikan Menteri Hal Ehwal Ekonomi iaitu persiapan kita tidak melibatkan projek pembangunan baru kecuali menaik taraf kerana Selangor mempunyai infrastruktur yang cukup untuk kita laksanakan SUKMA 2022,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada acara Larian Menjunjung Kasih 2019 sempena sambutan Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang ke-74 di Dataran Majlis Bandaraya Petaling Jaya di sini, hari ini.

Mohd Khairuddin berkata, pada masa ini Selangor hanya perlu melaksanakan projek menaik taraf terhadap fasiliti sedia ada.

“Apa pun kita tunggu keputusan dibuat oleh majlis tertinggi SUKMA pada Januari nanti.

“Walaupun kali terakhir Selangor tuan rumah pada 1998 tetapi Selangor kerap menganjurkan acara sukan besar dan sebab itu kita ada banyak kemudahan dan tiada masalah langsung untuk anjur SUKMA,” katanya.

Mohd Khairuddin berkata, Kerajaan Persekutuan juga akan menyalurkan peruntukan sebanyak RM100 juta kepada negeri tuan rumah bagi membiayai persiapan penganjuran.

Sementara itu, ketika menyentuh persediaan menghadapi SUKMA Johor 2020, Mohd Khairuddin berkata, Selangor mensasarkan kutipan pingat 40 emas, 40 perak dan 45 gangsa pada temasya itu.