Categories
EXCO SELANGOR

Dewan Kongres Belia Selangor diwujud, dengar suara anak muda – EXCO

SHAH ALAM, 7 NOV: Dewan Kongres Belia Selangor yang dianggotai 56 individu bakal ditubuhkan pada awal tahun depan, kata EXCO pembangunan generasi muda.

Mohd Khairuddin Othman berkata seramai 10 daripada mereka dipilih sebagai EXCO jawatankuasa eksekutif peringkat negeri yang berfungsi mengetengahkan isu semasa serta langkah memperkasa golongan tersebut.

“Semua 56 anggota kongres dipilih dalam kalangan Penggerak Belia Tempatan (PeBT) seluruh negeri berdasarkan kriteria tertentu antaranya aktif dalam aktiviti dan mempunyai sifat kepimpinan tinggi.

“Resolusi kongres dibawa kepada saya selaku EXCO bertanggungjawab dan bakal diangkat ke dalam Sidang DNS bagi membolehkan isu serta cadangan dikemukakan diteliti wakil rakyat,” katanya pada  sidang DNS semalam.

Beliau berkata Kerajaan Negeri sentiasa mendengar suara dan pandangan anak muda dalam setiap proses keputusan di semua peringkat.

“Dewan kongres ini merupakan kesinambungan kepada penubuhan PeBT, selaras hasrat Kerajaan Selangor menggerakkan program pembangunan generasi muda secara menyeluruh,” katanya.

Pada 3 Oktober Selangor menjadi negeri pertama menganjur sidang DNS secara maya khusus untuk golongan muda termasuk pelajar sekolah seawal umur 15 hingga 35 tahun.

Program yang disertai 56 peserta mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) bertujuan melahirkan bakal pemimpin berkaliber, bertanggungjawab dan memupuk sifat kepimpinan dalam kalangan peserta.

Categories
EXCO SELANGOR

Kerajaan Negeri sedia tangani pengangguran akibat PKP

SHAH ALAM, 15 MEI: Selangor akan bekerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Jabatan Tenaga Kerja bagi menangani isu anak muda yang hilang pekerjaan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata EXCO pembangunan generasi muda.

Mohd Khairuddin Othman berkata kesan penularan Covid-19 terhadap sektor pekerjaan bukan berlaku di negara ini sahaja malah seluruh dunia dan Kerajaan Negeri akan mengambil tindakan sewajarnya dalam meningkatkan kemahiran mereka.

“Bagi golongan pekerja, Kerajaan Negeri akan membantu mereka untuk menyesuaikan permintaan majikan dengan menyediakan program peningkatan kemahiran dan pengambilan semula kepada pekerja itu sendiri.

“Bagi rakyat Selangor yang ingin berdikari, kita akan memberi tumpuan kepada ekonomi ‘gig’ secara bekerjasama dengan syarikat e-panggil seperti Grab dan DIGO untuk menyediakan kursus asas supaya belia dapat masuk ke program tersebut,” katanya ketika dihubungi.

Ekonomi gig ialah pasaran buruh kontrak jangka pendek atau kerja bebas yang dilakukan oleh individu dan dipacu teknologi digital.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri turut menyediakan peruntukan RM1 juta dibawah program Roda Darul Ehsan (Ride) bagi membantu belia mendapatkan lesen memandu ke arah ekonomi gig.

Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik, Najwan Halimi sebelum ini berkata golongan anak muda antara paling terjejas susulan pelaksanaan PKP sejak Mac lalu.

Najwan berkata ramai mengadu kehilangan sumber pendapatan biarpun mereka dalam kalangan individu berkemahiran atau memiliki tahap pendidikan tinggi.

Categories
EXCO SELANGOR

SUKMA 2022: Selangor bersaing rebut hak penganjuran

PETALING JAYA, 8 DIS: Tiga negeri bakal bersaing bersama Selangor bagi merebut hak penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 nanti.

EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, selain Selangor, negeri lain turut membida hak penganjuran adalah Sabah, Pulau Pinang dan Kedah.

“Kita telah masuk untuk membida untuk penganjuran SUKMA 2022 dan kita juga telah dimaklumkan ada tiga lagi negeri lain yang turut sama iaitu Sabah, Pulau Pinang dan Kedah.

“Kita sangat optimis peluang kita cerah untuk mendapat hak penganjuran kerana berdasarkan garis panduan diberikan Menteri Hal Ehwal Ekonomi iaitu persiapan kita tidak melibatkan projek pembangunan baru kecuali menaik taraf kerana Selangor mempunyai infrastruktur yang cukup untuk kita laksanakan SUKMA 2022,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada acara Larian Menjunjung Kasih 2019 sempena sambutan Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang ke-74 di Dataran Majlis Bandaraya Petaling Jaya di sini, hari ini.

Mohd Khairuddin berkata, pada masa ini Selangor hanya perlu melaksanakan projek menaik taraf terhadap fasiliti sedia ada.

“Apa pun kita tunggu keputusan dibuat oleh majlis tertinggi SUKMA pada Januari nanti.

“Walaupun kali terakhir Selangor tuan rumah pada 1998 tetapi Selangor kerap menganjurkan acara sukan besar dan sebab itu kita ada banyak kemudahan dan tiada masalah langsung untuk anjur SUKMA,” katanya.

Mohd Khairuddin berkata, Kerajaan Persekutuan juga akan menyalurkan peruntukan sebanyak RM100 juta kepada negeri tuan rumah bagi membiayai persiapan penganjuran.

Sementara itu, ketika menyentuh persediaan menghadapi SUKMA Johor 2020, Mohd Khairuddin berkata, Selangor mensasarkan kutipan pingat 40 emas, 40 perak dan 45 gangsa pada temasya itu.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Sedia kerjasama dengan KBS lahirkan pemimpin masa hadapan

KLANG, 18 OKT: Kerajaan Negeri akan berkerjasama rapat dengan Kementerian Belia dan Sukan bagi melahirkan pemimpin dalam kalangan generasi muda di masa hadapan.

EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khiruddin Othman berkata, ini termasuk dalam penyediaan prasarana di Selangor untuk digunakan dalam program membina kepimpinan golongan muda.

“Cabaran kerajaan hari ini adalah mendekatkan belia dengan politik dan persatuan kerana ramai antara mereka tidak berminat.

“Pogram yang diadakan di sini boleh melahirkan kepimpinan masa hadapan di kalangan peserta muda kita,” katanya.

Mohd Khairuddin berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri lawatan ke program Sekolah Pemimpin Masa Hadapan Malaysia Kohort 11 di Kem Wawasan Negara Meru, Kampung Bukit Cherakah di sini, hari ini.

Mohd Khairuddin berkata, program yang dilangsungkan selama 10 hari ini melalui beberapa peringkat tapisan.

Katanya, daripada ribuan peserta di peringkat awal, hanya 150 orang sahaja akan melepasi hingga peringkat akhir.

Categories
EXCO SELANGOR

Selangor sedia bantu kementerian menyelaras pembangunan sukan

SHAH ALAM, 16 OKT: Kerajaan Negeri berharap Selangor memperolehi sebahagian besar manfaat daripada peruntukan bagi sektor belia dan sukan seperti diumumkan dalam Belanjawan 2020 lalu.

EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, Kerajaan Negeri juga sedia berkerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan untuk menyelaras pembangunan dirancang Kerajaan Pusat di Selangor.

“Kerajaan Negeri Selangor sambut baik belanjawan Kerajaan Pusat bagi tujuan pembangunan sukan kerana ini merupakan penanda aras keprihatinan Kerajaan Pusat terhadap pembangunan sukan tanah air.

“Kerajaan Negeri berharap sebahagian besar peruntukan belanjawan sukan akan turun ke Negeri Selangor dan Kerajaan Negeri bersedia bersama-sama menyelaras dalam pembangunan sukan di Selangor,” katanya kepada SelangorKini.

Mohd Khairuddin juga yakin peruntukan RM299 juta untuk menaik taraf kemudahan sukan termasuk Kompleks Belia dan Sukan serta Kompleks Sukan Komuniti mampu meningkatkan penglibatan golongan muda dalam sukan sama ada secara aktif mahupun untuk beriadah.

Terdahulu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan peruntukan sejumlah RM553 juta bagi sektor sukan.

Peruntukan itu membabitkan RM299 juta untuk menaik taraf kemudahan sukan termasuk Kompleks Belia dan Sukan serta Kompleks Sukan Komuniti.

Peruntukan lain membabitkan RM179 juta untuk persiapan saingan antarabangsa seperti Sukan Olimpik, Sukan Paralimpik 2020 dan Sukan SEA 2021.

Manakala sejumlah RM45 juta diperuntukan untuk program pembangunan bola sepak, RM10 juta untuk pembangunan atlet wanita dan RM20 juta lagi untuk e-sukan.

Categories
SUKANKINI

SHARP I Love Shah Alam Fun Run terima lebih 3,000 penyertaan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 9 APR: SHARP I Love Shah Alam Fun Run mendapat sambutan hangat apabila lebih 3,600 peserta daripada pelbagai lapisan umur sudah mendaftar sejak pendaftaran dibuka pada 15 Mac lalu.

Larian anjuran Sharp Electronics (Malaysia) Sdn Bhd (SEM) julung kali diadakan dengan sokongan penuh Kerajaan Negeri itu bakal berlangsung pada 21 April ini bermula jam 7 pagi hingga 12 tengah hari, di Seksyen 27, di sini.

EXCO Pembangunan Generasi Muda, Sukan Dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, penganjur menyasarkan penyertaan 3,000 peserta sahaja sebagai permulaan, bagaimanapun pendaftaran sudah mencecah hampir 4,000 peserta.

Katanya, acara larian seumpama itu menjadi salah satu ‘trend’ pada masa kini, selain menyumbang terhadap kepelbagaian program di Selangor, khususnya.

“Program ini menjadi wadah penting untuk memastikan penglibatan komuniti terhadap acara yang mampu mengeratkan hubungan silaturrahim baik dalam komuniti di kawasan perumahan mahupun komersil, khususnya di sekitar Sekysen 27 dan Shah Alam secara amnya.

“Malah, ia sudah tentu akan menggalakkan amalan gaya hidup sihat melalui aktiviti yang menyeronokkan seperti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar SHARP I Love Shah Alam Fun Run 2019, di Lobi Bangunan A Sharp Electronics Malaysia, Seksyen 27, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Urusan Sharp Electronics Malaysia, Ting Yang Chung dan barisan pengurusan serta kakitangan syarikat berkenaan.

Terdahulu, program yang menjadi sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat itu membabitkan larian sejauh 3 kilometer (KM) dan 6.5 KM bagi kedua-dua kategori lelaki dan wanita termasuk kanak-kanak.

Uniknya, peserta yang mengambil bahagian dibenarkan memakai kostum menarik atau melucukan bagi mewarnai lagi acara pada hari berkenaan dan kostum paling mencuri tumpuan berpeluang memenangi voucer membeli belah.

Peserta turut dibekalkan t-shirt, medal, ‘running bib’, dan bag ‘goodies’ selepas menamatkan larian terbabit, selain berpeluang memenangi cabutan bertuah barangan Sharp sehingga RM50,000.

 

Categories
SELANGOR

Pas Selangor tak goyah

SHAH ALAM, 3 OKT: PAS Selangor sama sekali tidak goyah dengan penubuhan Pakatan Harapan, tegas Setiausahanya, Mohd Khairuddin Othman.

Beliau berkata, Pakatan Rakyat (Pakatan) juga masih terpakai di negeri itu seperti ditegaskan Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, sebelum ini.

khairuddin othmanKatanya, kenyataan itu menjadi panduan buat wakil rakyat dan ahli PAS berkhidmat penuh komitmen memajukan Selangor.

“Kami terima baik pandangan Mohamed Azmin yang menyatakan hanya Pakatan terpakai di Selangor.

“Jadi, PAS Selangor akan terus menjalankan tugas seperti biasa termasuk berbincang dengan rakan PKR dan DAP dalam urusan hal ehwal negeri,” katanya dipetik Sinar Harian.

Terdahulu, Mohamed Azmin dilapor berkata terpulang kepada PAS sama ada mahu keluar atau kekal dalam Kerajaan Selangor.

shafie ngahSementara itu, Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS Selangor, Shafie Ngah turut menegaskan PAS tidak akan menarik diri dan akan terus kekal bersama mentadbir negeri itu.

“PAS tidak boleh menarik diri kerana wakil rakyat kami mempunyai amanah besar melaksanakan mandat rakyat.

“Kami juga percaya mana-mana parti di negeri ini tidak boleh memerintah secara bersendirian kecuali melalui kerjasama antara satu sama lain,” katanya.

Categories
SELANGOR

Wujudkan pusat sokongan OKU, beri perhatian penghakisan tanah rizab

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 26 NOV : Kerajaan Negeri disarankan supaya menambahbaik sistem terhadap golongan kurang upaya (OKU) bagi memastikan golongan itu tidak ketinggalan dalam pembangunan negeri.

Mohd Khairuddin Othman (PAS-Paya Jaras), berkata Selangor tidak mempunyai sistem mantap untuk golongan itu dan bantuan yang diberikan juga tidak mencukupi.

oku iii“Kita tiada sistem mantap terhadap OKU sehingga mereka sering tertanya bila bantuan ini akan sampai.

“Saya merayu supaya Dato’ Menteri Besar masukkan dalam sistem Kerajaan Negeri dengan mewujudkan pusat sokongan OKU supaya mereka boleh bergerak sesama sendiri di sana,” katanya ketika membahaskan usul Belanjawan Selangor 2015, di sini, hari ini.

Selain itu, katanya isu penghakisan tanah rizab Melayu perlu diberikan perhatian memandangkan masalah itu semakin serius terutama di kawasan Sungai Buloh.

khairuddin othmanBeliau turut mencadangkan supaya hak milik sementara (TOL) diserahkan semua kepada Pejabat Daerah dan Tanah supaya mereka boleh bekerjasama dengan ADUN berhubung isu tanah.

“Saya juga mencadangkan supaya program pemberi milikan tanah diteruskan kerana ia memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Pada masa sama, Khairuddin turut meminta supaya masalah perparitan di Kampung Melayu Sungai Buloh diselesaikan bagi mengelakkan masalah banjir daripada terus berulang.

-NFN-