Categories
EXCO SELANGOR

Tandas bersih tanggungjawab semua demi imej negara

SHAH ALAM, 3 DIS: Penjagaan kebersihan tandas bukan terletak di bahu Kerajaan Negeri semata-mata tetapi semua pihak perlu bertanggungjawab bagi memastikan ia sentiasa bersih kerana turut membabitkan imej negara.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, pelancong luar yang datang ke negara ini turut menggunakan tandas awam terutama ketika berada di premis makanan dan ia boleh mendatangkan rasa kurang selesa kepada pengguna jika tidak dijaga dalam keadaan baik.

“Laporan, aduan dan perbincangan mengenai tandas awam kotor, rosak, tersumbat serta tidak diselenggara dengan baik sering kita baca dan dengar sama ada dari warga Malaysia sendiri mahu pun pelancong luar yang berkunjung ke negara ini.

“Adalah menjadi kewajiban kita semua untuk menjaga kebersihan tandas awam demi imej baik Malaysia,” katanya.

Ng Sze Han berucap ketika Majlis Pengiktirafan Tandas Bersih di Bawah Program Selangorku Tahun 2019 di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 3 Disember 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan Majlis Pengiktirafan Tandas Bersih Di Bawah Program Selangorku Tahun 2019 di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.

Katanya, Kerajaan Negeri memperuntukkan hampir RM1 juta untuk menaik taraf tandas awam di Selangor melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai insiatif serius terhadap perkara berkenaan.

Katanya, PBT juga perlu membuat pemeriksaan secara berkala dan aktif bagi memastikan premis perniagaan menjaga kebersihan tandas serta memberikan penarafan sebaiknya kepada pengusaha.

Dalam majlis sama, 113 premis makanan dipilih untuk menerima anugerah dan insentif RM1,000 atas kejayaan menyediakan kemudahan tandas bersih.

Kesemua pemenang dipilih berdasarkan kriteria ditetapkan Kerajaan Negeri daripada 12 PBT di Selangor.