Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tian Chua: Bukan soal PM tapi perjuangan KEADILAN

AYER KEROH, 8 DIS: Naib Presiden, Tian Chua mengajak semua pihak merenung kembali dan mempertahankan prinsip perjuangan asal KEADILAN yang bukan berkisar kepada soal mengangkat perdana menteri semata-mata.

Dalam sesi penggulungan Kongres Tahunan Nasional beliau berkata, medan perbahasan sepatutnya dijadikan platform untuk mengutarakan isu rakyat.

“Saya juga ingin mnyatakan kekecewaan dan kemarahan yang saya rasa tetapi saya tetap berada di forum ini untuk beri penjelasan kepada perwakilan dan pemerhati kerana saya telah dipilih semua.

“Semalam ramai dalam kalangan yang sorak pengkhianat dan pecat. Saya kembali untuk berhadapan dengan mereka yang suruh kawan-kawan dipecat dan (digelar) pengkhianat.

Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua menyampaikan ucapan ketika sesi penggulungan dalam Kongres Nasional KEADILAN Ke-14 berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa (MITC), Melaka. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Saya tidak takut berhadapan FRU, keganasan dan kekejaman polis apatah lagi nak takut dengan rakan tidak bersependapat dengan saya. Sebagai reformis kita tidak takut untuk tidak sepandangan dengan pemimpin.

“Isu yang tidak dipertikaikan dalam kongres ini bukan soal Anwar jadi Perdana Menteri ke-8. Isu ini sudah ditetapkan Pakatan Harapan dalam meja rundingan.

“Dalam perbahasan semalam ada topik pembangunan negara, isu air, pendidikan, isu kemsikinan sebahagin besar pembahas kita. Memang mudah sekarang nak ampu-ampu dan kipas untuk menyatakan Anwar bakal Perdana Menteri ke-8,” katanya.

Katanya, rakyat kini memerhati keupayaan KEADILAN untuk menjadi parti pemerintah tetapi bukan berdasarkan sorakan semata-mata.

“Presiden, bukan saya tidak mahu angkat plakad seperti ini. Saya tidak perlukan plakad untuk tunjuk kesetiaan, sokongan kepada Anwar.

“Saya anggap tugas saya paling penting sekarang, saya tidak mahu lihat parti kita dan penyokong akan jadi lebih ekstrim dan taksub. Itulah bahayanya bagi parti kita jika ia terjadi.

“Saya ingin tegaskan, rakyat meneliti (sama ada) KEADILAN layak menjadi parti pemerintah, kelayakan ini bukan melalui sorakan.

“Kelayakan ini harus kita lihat bagaimana kita membentuk parti yang bersatu, parti yang inklusif, menerima pelbagai pandangan dan menjadi solusi terhadap masalah rakyat,” katanya.