Categories
AGENDA NASIONAL

Kelantan rayu kerajaan pusat bantu penanam rugi RM2.4 juta akibat banjir

PASIR PUTEH, 8 DIS: Kerajaan Kelantan meminta kerajaan pusat membantu penanam di daerah Semerak di sini yang mengalami kerugian RM2.4 juta setelah tanaman mereka terutama ubi keledek musnah akibat ditenggelami banjir, awal bulan ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri, Abdul Azziz Kadir berkata kerajaan pusat perlu membantu Kelantan bagi meringankan beban penanam yang mengalami kerugian besar dan sukar untuk dipulihkan.

“Kerjasama kerajaan pusat perlu bagi memulihkan pendapatan penanam yang terjejas teruk disebabkan fenomena yang tidak diduga,” katanya kepada pemberita dalam satu perjumpaan khas antara penanam dan agensi yang berkaitan di Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak di sini, hari ini.

Dalam kejadian itu, seramai 200 penanam yang sebahagian besar mengusahakan tanaman ubi keledek Vitato selain petola dan cili di kawasan seluas 160 hektar di Kampung Haji Wan Omar, musnah akibat ditenggelami air selama empat hari berpunca daripada sistem perparitan gagal berfungsi untuk mengalirkan air ke Terusan Semerak.

Abdul Azziz berkata beliau akan mengemukakan bantuan daripada kerajaan pusat melalui jawatankuasa khas bersama yang ditubuhkan, yang akan bermesyuarat dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, Pegawai Pertanian Jajahan Pasir Puteh Asrul Sani Ramli berkata pihaknya sedang melancarkan gerakan membanci untuk mengetahui kerugian sebenar yang dialami oleh penanam terbabit yang merupakan bekas penanam tembakau.

Bagaimanapun beliau berkata, penanam terbabit dikehendaki melaporkan kepada pihak polis tentang jumlah kerugian yang dialami bersertakan dengan gambar selain mengisi satu borang khas.

Jurutera Jajahan, Pejabat Parit dan Saliran (JPS) Pasir Puteh Wan Azinuddin Wan Ibrahim berkata pihaknya memperuntukkan sejumlah RM20,000 untuk membersih parit di kawasan itu sepanjang tiga kilometer.

Katanya, kerja-kerja pembersihan dari semak samun yang menghalang pengaliran air akan dilakukan pada minggu ini sebagai persediaan untuk menghadapi fenomena yang dijangka berulang sehingga awal tahun hadapan.

ADUN Semerak Wan Hasan Wan Ibrahim pula berkata, beliau akan menyumbang 50 pek bekalan makanan keperluan harian bernilai RM5,000 kepada penanam yang mengalami kerugian besar bagi meringankan beban keluarga pada musim tengkujuh ini.

-BERNAMA