Categories
AGENSI SELANGOR

UNISEL-MDKS meterai MoU kerjasama sektor pelancongan

KUALA SELANGOR, 4 DIS: Universiti Selangor (UNISEL) dan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi membuka ruang kerjasama antara kedua-dua pihak terbabit.

Presiden dan Naib Canselornya, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, perjanjian persefahaman itu meliputi dua aspek penting daripada segi projek penghijauan dan inisiatif pelancongan.

Katanya, intipati kerjasama itu dapat memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak apabila ia dapat membuka ruang kepada UNISEL sebagai hab teknologi hijau atau ‘bank tree’.

“UNISEL giat melaksanakan usaha menjadikan kampus Bestari Jaya sebagai kampus hijau. Demi merealisasikan hasrat ini, kita berjaya menanam lebih 4,000 pokok sejak tahun lalu dan sedang berusaha mewujudkan Taman Bestari.

“Manakala, inisiatif pelancongan pula dapat menjadikan sekitar UNISEL Bestari Jaya sebagai salah satu jejak warisan di daerah Kuala Selangor terutama berkenaan sejarah tapak perlombongan yang wujud di sini sekitar tahun 50-an,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Kafe Muzium@Food Valet UNISEL dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara UNISEL dengan Majlis Daerah Kuala Selangor, di Kampus Bestari Jaya, di sini, hari ini.

Turut hadir, EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari serta Ahli Dewan Negeri Permatang, Rozana Zainal Abidin.

Acara menandatangani MoU itu disempurnakan Dr Mohammad Redzuan disaksikan Pendaftar UNISEL, Rokma Mat manakala bagi pihak MDKS pula ditandatangani Yang Dipertuanya, Rahilah Rahmat disaksikan Pengarah Landskapnya, Norazean Abdul Rahman.