Categories
AGENDA NASIONAL

605 notis kesalahan merokok di tempat makan dikeluarkan di seluruh negara

SHAH ALAM, 2 JAN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan 605 notis kesalahan merokok di tempat makan dengan jumlah kompaun bernilai RM144,450 dalam operasi penguatkuasaan serentak di seluruh negara semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu 34 notis kesalahan dikeluarkan kepada golongan belum dewasa.

“Penguatkuasaan serentak yang bermula 1 Januari, jam 8 pagi sehingga tengah malam di seluruh Malaysia melibatkan 2,087 orang pegawai penguat kuasa KKM yang telah memeriksa 6,119 premis tempat makan.

“Sepanjang penguatkuasaan sejumlah 605 notis kesalahan dengan jumlah kompaun RM144,450 dikeluarkan dengan 34 notis kesalahan dikeluarkan kepada golongan orang belum dewasa,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kompaun bernilai RM25,750 pula dikeluarkan menerusi 103 notis kesalahan kepada pemilik premis.

Daripada jumlah itu, 79 notis kesalahan kerana gagal mempamerkan tanda larangan merokok dan 24 notis kesalahan kerana menyediakan kemudahan merokok.

Katanya, secara rumusan, rata-rata pemilik premis telah memberikan kerjasama dan menjalankan tanggungjawab mereka dalam melaksanakan penguatkuasaan larangan merokok di tempat makan.

“Peratusan kesalahan yang dilakukan pemilik premis jika dibandingkan dengan bilangan premis yang dilawati menurun daripada 47 peratus pada hari pertama Januari 2019 kepada 1.7 peratus pada hari pertama Januari 2020.

“Namun, bilangan perokok yang merokok di tempat makan masih tinggi dengan 10 peratus perokok didapati merokok di premis yang dilawati. Pihak KKM memohon kerjasama semua pihak agar mematuhi larangan merokok ini bagi memastikan kesihatan masyarakat terjamin,” katanya.