Categories
PBT SELANGOR

‘Kilauan biru’ tarikan terbaharu di Kuala Selangor

SHAH ALAM, 7 JAN: ‘Kilauan biru’ (blue tears) menjadi tarikan terbaharu di Kuala Selangor untuk memikat pengunjung dalam dan luar negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020).

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor berkata fenomena fitoplankton yang mengeluarkan cahaya biru terang menambah tarikan selain Sky Mirror dan Dataran Pekan Lama.

“Kami menyahut seruan Tun Dr Mahathir Mohamad supaya menjadikan TMM2020 sebagai misi nasional dengan bercerita dan berkongsi mengenai kecantikan, keamanan dan keindahan negara ini.

“Saya juga berharap penduduk Kuala Selangor memanfaatkan TMM2020 dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelancong, sekali gus meningkatkan hasil pendapatan,” kata Rahilah Rahmat dalam kenyataan.

Fitoplankton, sejenis tumbuhan marin mikroskopik yang hanyut di permukaan air menghasilkan cahaya biru terang apabila bertindak balas dengan kandungan oksigen dalam air laut.

‘Blue tears’ boleh dilihat dengan menaiki bot di Jeti Sky Mirror bermula 8 hingga 10 malam.