Categories
SELANGOR

Aplikasi Go Eat hantar makanan masak di rumah, jana pendapatan

CYBERJAYA 16 JAN: Mereka yang mahu menjana pendapatan boleh menjadi vendor servis hantar makanan dimasak di rumah menerusi platform aplikasi digital Go Eat.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Go Eat, Datuk Khairil Muzamil Abdul Rahman berkata kelainan aplikasi itu ialah menawarkan makanan masak dari rumah namun perlu memenuhi syarat ditetapkan.

“Suri rumah dan ibu tunggal yang sukar meninggalkan anak kecil untuk bekerja di luar rumah digalakkan menjadi vendor,” katanya ketika ditemui pada majlis pra-pelancaran Go Eat di sini.

Khairil berkata platform servis penghantaran makanan Go Eat turut membuka peluang pekerjaan kepada yang berminat menjadi penghantar makanan.

Katanya Go Eat beroperasi sepenuhnya pada 19 Januari di Putrajaya, Cyberjaya dan Bangi buat permulaan sebelum meluaskan operasi di seluruh negara dan ke negara jiran.

Aplikasi Go Eat boleh dimuat turun di Android Playstore atau IOS Appstore mulai 18 Januari dan ia merupakan teknologi dibangunkan sepenuhnya anak tempatan.

-BERNAMA