Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bayi baru lahir terima suntikan percuma vaksin pneumococcal

IPOH, 3 JAN: Bayi yang lahir bermula 1 Januari tahun ini layak menerima suntikan vaksin pneumococcal secara percuma, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih dalam proses perolehan vaksin berkenaan untuk diedar ke semua klinik dan hospital dan suntikan itu dijangka dilaksana mulai Jun depan.

“Sebanyak RM60 juta diperuntuk untuk program vaksin pneumococcal ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, Dr Lee menyerahkan alat perubatan LEGA, yang merupakan inovasi tempatan untuk membantu pesakit berkaitan masalah paru-paru seperti asma dengan mengeluarkan kahak dan melegakan pernafasan, kepada Klinik Kesihatan Gunung Rapat di sini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020 pada 11 Oktober lalu mengumumkan kerajaan memperuntukkan RM30.6 bilion kepada KKM dengan RM60 juta daripadanya sebagai permulaan untuk menyediakan vaksin pneumococcal kepada semua kanak-kanak.

Dalam perkembangan lain, Dr Lee berkata sebanyak 42 saman dikeluarkan di Perak pada hari pertama pelaksanaan larangan merokok di premis makanan.

Katanya saman itu dikeluarkan kepada 26 perokok yang merokok di premis makanan, 10 saman terhadap pengusaha premis makanan yang tidak mempamerkan notis larangan merokok dan enam lagi kalangan bawah umur yang merokok atau memiliki hasil tembakau menerusi pemeriksaan di 612 premis pada 1 Januari lalu.

“Tindakan saman terhadap anak-anak berusia bawah 18 tahun perlu dibayar ibu bapa jadi mereka dinasihatkan supaya bertanggungjawab terhadap anak mereka dan memantau tingkah laku anak,” katanya.

Dr Lee berkata orang ramai yang ingin berhenti merokok boleh mendapatkan bantuan di klinik kesihatan dengan bayaran serendah RM1 untuk memperoleh ubat dan konsultasi pakar.

“Setakat ini sebanyak 18,600 perokok berjaya berhenti merokok melalui program kesihatan di seluruh negara sejak 2012,” katanya.

Bagi kesalahan tidak mempamerkan notis larangan merokok dan merokok di kawasan larangan termasuk tempat makan akan dikenakan kompaun RM250.

-BERNAMA