Categories
AGENDA NASIONAL

Pihak swasta digalak sedia mesin pengimbas suhu badan

KUALA LUMPUR, 14 FEB: Pihak swasta digalak untuk menyediakan mesin pengimbas suhu badan di premis masing-masing terutama di pintu masuk utama bangunan.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata perkara itu dilihat dapat membantu kerajaan mengekang penularan jangkitan koronavirus 2019 (Covid-19).

“Buat masa ini, Kementerian Kesihatan mempunyai 80 mesin pengimbas suhu badan yang diletakkan di pintu masuk antarabangsa (PMA) di seluruh negara, dan jumlah itu dilihat mencukupi buat masa ini.

“Walaupun harga mesin itu agak mahal sekitar RM40,000 namun kami tetap menggalakkan pihak swasta untuk sediakan mesin itu, contohnya kalau pihak hotel dapat sediakan itu dapat membantu kami (kerajaan),” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kongres Saintifik ke-17 Persatuan Hipertensi Malaysia (MSH) 2020, di sini hari ini.

Mengenai kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia dan Singapura berhubung Covid-19, Lee berkata mesyuarat pertama Jawatankuasa Kerja Bersama akan diumum minggu depan.

“Saya merancang untuk pergi ke Singapura atau Johor Bahru, tetapi saya perlu meniliti dahulu jadual waktu kedua-dua pihak dan jika pertemuan itu dapat diadakan minggu depan, kami akan menyokong sama ada ia akan diadakan secara bersemuka ataupun melalui sidang video,” katanya.

Sementara itu, Lee berkata Kementerian Kesihatan menyasarkan untuk mengurangkan kandungan garam sebanyak 15 peratus dalam pemakanan rakyat Malaysia tahun ini seperti yang digariskan kementerian itu dalam Strategi Pengurangan Pengambilan Garam 2015-2020.

“Kementerian sedang menjalankan kajian mengenai keburukan kandungan monosodium atau garam dalam pemakanan rakyat Malaysia di samping akan berterusan membuat program kesedaran tentang hipertensi,” katanya.

Beliau berkata bagi mencapai sasaran itu pemain industri iaitu pengeluar dan penyedia makanan perlu turut mengurangkan penggunaan garam dalam penyediaan makanan kepada pengguna.

Seramai 500 delegasi dari dalam dan luar negara menghadiri kongres berkenaan yang membincangkan pelbagai isu antaranya cara menangani, rawatan dan situasi terkini hipertensi.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM tidak wajibkan penyedut minuman serai di hospital

IPOH, 17 JAN: Kementerian Kesihatan (KKM) tidak mewajibkan penggunaan serai sebagai penyedut minuman di kafe dan kantin hospital, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya menyerahkan perkara itu kepada operator kantin serta kafe sekiranya mendapati ia praktikal dan ekonomi.

“Sekarang ada banyak pilihan penyedut minuman, ada yang diperbuat daripada jagung dan kertas, jadi ada banyak pilihan. Kementerian tidak buat mikropengurusan (wajib gunakan serai) macam ini, itu terpulang kepada operator kantin dan kafe.

“Bagaimanapun ini cadangan yang baik sekiranya tidak membebankan kos operator kantin dan kafe serta praktikal, ia amat digalakkan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Klinik Kesihatan Bijih Timah di Jalan Sultan Yusof di sini hari ini.

Pada 15 Januari lalu, media melaporkan Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Senator Datuk Husam Musa mengumumkan serai akan digunakan sebagai penyedut minuman yang akan diperluaskan ke kafe hospital termasuk kepada pesakit bagi menggantikan straw plastik.

Husam berkata penggunaan serai sebagai penyedut minuman sesuatu yang baharu dan sebagai permulaan, beliau mewajibkan penggunaannya di semua kafe KADA.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polio: Lebih 100,000 kanak-kanak di Sabah bakal divaksin

SUNGAI SIPUT, 11 JAN: Lebih 100,000 kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah di Sabah akan diberi suntikan vaksin polio bagi mengekang penyebaran wabak berkenaan.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata kesemua kanak-kanak tidak kira sama ada warganegara atau bukan akan disuntik secepat mungkin setelah bekalan vaksin tersebut diperoleh minggu ini.

“Mengikut data, tahap pelalian kanak-kanak tempatan di Sabah melebihi 95 peratus, oleh kerana negeri itu mempunyai masalah pendatang asing khususnya mereka yang tidak mempunyai dokumen (pengenalan diri) dan kebanyakannya dari Filipina, jadi ramai kalangan mereka (kanak-kanak) tidak menerima pelalian vaksin.

“Kami akan bekerjasama dengan WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) dan juga NGO (pertubuhan bukan kerajaan) serta kerajaan Filipina supaya keadaan (wabak polio) boleh dikawal daripada terus merebak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Angkat Sumpah dan Jamuan Makan Malam Jawatankuasa Lembaga Pengelola Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Shing Chung di sini, malam ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata dua lagi kanak-kanak disahkan dijangkiti polio, pesakit kedua dan ketiga direkodkan di Sabah selepas seorang bayi lelaki berusia tiga bulan dari Tuaran disahkan dijangkiti virus itu.

Katanya dua kanak-kanak lelaki itu yang masing-masing berusia lapan dan 11 tahun merupakan warganegara asing.

Pada 6 Disember lalu, seorang bayi lelaki berusia tiga bulan dari Tuaran, Sabah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi sebuah hospital selepas disahkan dijangkiti vaccine-derived poliovirus type 1 (VDPV1), kes polio pertama setelah Malaysia diisytiharkan bebas penyakit itu 27 tahun lalu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM mahu perluas perubatan tradisional, komplimentari

PETALING JAYA, 9 JAN: Kementerian Kesihatan (KKM) berhasrat untuk perluaskan amalan perubatan tradisional dan komplimentari (PT&K) di hospital seluruh negara khususnya di sektor awam, kata Timbalan Menterinya Dr Lee Boon Chye.

Beliau berkata kajian terbaru yang dijalankan KKM mendapati kira-kira 30 peratus rakyat Malaysia sebenarnya mendapatkan rawatan tradisional sekali gus menjadikan terdapat permintaan bagi perkhidmatan itu dalam kalangan orang ramai.

“Setakat ini, kira-kira 15 buah hospital di bawah kementerian menyediakan rawatan PT&K seperti di Institut Kanser Negara dan hospital di Putrajaya dan Cheras.

“Kita melihat wujudnya keperluan itu (PT&K) kerana dalam kaji selidik kami, ramai rakyat Malaysia masih mendapatkan rawatan tradisional. PT&K masih menjadi pilihan ramai orang di sini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat PT&K Sunway di sini hari ini.

Sementara itu Dr Lee berkata mana-mana individu yang berhasrat untuk mengamalkan bidang PT&K perlu berdaftar dengan kementerian sebaik sahaja Akta PT&K 2016 dikuatkuasakan sepenuhnya dalam dua atau tiga tahun lagi untuk memastikan keselamatan dan kualiti perkhidmatan penjagaan kesihatan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kementerian juga merancang untuk mengawal selia kadar bayaran dikenakan pengamal perubatan bagi memastikan harga yang adil dan kompetitif untuk semua rakyat Malaysia.

Beliau berkata terdapat tujuh bidang amalan perubatan yang diiktiraf di bawah Akta PT&K 2016 iaitu Perubatan Tradisional Melayu, Perubatan Tradisional Cina, Perubatan Tradisional India, Amalan Perubatan Islam, Homeopati, Kiropraktik dan Osteopati.

Mengulas kes influenza ketika ini, Dr Lee berkata beliau yakin sesiapa yang didiagnosis akan kembali pulih.

“Kami (KKM) sentiasa memantau wabak ini (influenza),” katanya sambil menambah influenza adalah endemik di negara ini kerana ia berlaku sepanjang tahun terutama pada akhir tahun apabila berlakunya peningkatan pelancong.

Sehingga hari ini dilaporkan sebanyak 53 pelajar daripada 24 buah sekolah rendah dan menengah di Pulau Pinang dijangkiti influenza berbanding 19 kes semalam.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Premis makanan dilarang sedia ruang khas merokok

BATU GAJAH, 5 JAN: Premis makanan tidak dibenarkan menyediakan ruang khas untuk merokok buat pelanggan di dalam kawasan operasi perniagaan mereka.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, peraturan itu termasuk dalam arahan yang menetapkan tiga meter atau 10 kaki dari kedai makan dan restoran terbuka sebagai jarak kawasan larangan merokok.

“Sekiranya kedai makan menyediakan ruang khas merokok di luar kawasan (lingkungan tiga meter), ia bukan berada di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan tetapi pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kami telah mengadakan perbincangan dengan PBT. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mungkin akan mempertimbangkan premis makanan untuk menyediakan tempat pembuangan puntung rokok (dan bukannya ruang khas untuk merokok),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Kempen Kesihatan dan Derma Darah di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Batu Gajah di sini hari ini.

Dr Lee berkata, setiap premis makanan perlu mengikut lesen beroperasi restoran yang dikeluarkan pihak PBT dan tindakan tegas akan dikenakan sekiranya peraturan tidak dipatuhi.

Bermula 1 Januari 2019, peraturan larangan merokok dikuatkuasakan di semua restoran bertutup, berhawa dingin atau restoran dan warung berkonsep terbuka, namun perokok masih dibenarkan merokok pada jarak tiga meter dari luar restoran terbabit.

Pada 1 Januari tahun ini, Kementerian Kesihatan melaksanakan penguatkuasaan penuh larangan merokok di tempat makan dengan kompaun maksimum sehingga RM350.

Sementara itu, Dr Lee berkata, kurang kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai kepentingan melakukan saringan awal untuk mengesan kanser antara punca peningkatan bilangan kes baharu kanser.

Katanya, berdasarkan rekod, 95 peratus penyakit kanser boleh dirawat dan disembuhkan pada peringkat awal bagaimanapun, kanser agak sukar dirawat sekiranya sudah memasuki tahap keempat.

“Saringan awal untuk mengesan kanser boleh dilakukan di klinik kesihatan melalui ujian mamogram dan pap smear selain pemeriksaan najis berdarah bagi mengesan kanser kolorektal,” katanya.

Jumaat lepas, Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata terdapat peningkatan bilangan kes baharu kanser yang dikesan sepanjang lima tahun bermula 2012 hingga 2016 iaitu 115,238 kes berbanding 103,507 kes bagi tempoh sama pada 2007 hingga 2011.

Menurut laporan sama, 10 jenis kanser tertinggi yang dikesan dalam kalangan rakyat Malaysia mengikut keutamaan bagi tempoh 2012-2016 ialah kanser payudara, kolorektal, paru-paru, limfoma, nasopharynx, leukemia, kelenjar prostat, hati, pangkal rahim dan ovari.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bayi baru lahir terima suntikan percuma vaksin pneumococcal

IPOH, 3 JAN: Bayi yang lahir bermula 1 Januari tahun ini layak menerima suntikan vaksin pneumococcal secara percuma, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih dalam proses perolehan vaksin berkenaan untuk diedar ke semua klinik dan hospital dan suntikan itu dijangka dilaksana mulai Jun depan.

“Sebanyak RM60 juta diperuntuk untuk program vaksin pneumococcal ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, Dr Lee menyerahkan alat perubatan LEGA, yang merupakan inovasi tempatan untuk membantu pesakit berkaitan masalah paru-paru seperti asma dengan mengeluarkan kahak dan melegakan pernafasan, kepada Klinik Kesihatan Gunung Rapat di sini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020 pada 11 Oktober lalu mengumumkan kerajaan memperuntukkan RM30.6 bilion kepada KKM dengan RM60 juta daripadanya sebagai permulaan untuk menyediakan vaksin pneumococcal kepada semua kanak-kanak.

Dalam perkembangan lain, Dr Lee berkata sebanyak 42 saman dikeluarkan di Perak pada hari pertama pelaksanaan larangan merokok di premis makanan.

Katanya saman itu dikeluarkan kepada 26 perokok yang merokok di premis makanan, 10 saman terhadap pengusaha premis makanan yang tidak mempamerkan notis larangan merokok dan enam lagi kalangan bawah umur yang merokok atau memiliki hasil tembakau menerusi pemeriksaan di 612 premis pada 1 Januari lalu.

“Tindakan saman terhadap anak-anak berusia bawah 18 tahun perlu dibayar ibu bapa jadi mereka dinasihatkan supaya bertanggungjawab terhadap anak mereka dan memantau tingkah laku anak,” katanya.

Dr Lee berkata orang ramai yang ingin berhenti merokok boleh mendapatkan bantuan di klinik kesihatan dengan bayaran serendah RM1 untuk memperoleh ubat dan konsultasi pakar.

“Setakat ini sebanyak 18,600 perokok berjaya berhenti merokok melalui program kesihatan di seluruh negara sejak 2012,” katanya.

Bagi kesalahan tidak mempamerkan notis larangan merokok dan merokok di kawasan larangan termasuk tempat makan akan dikenakan kompaun RM250.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kos beli vaksin untuk pendatang asing diumum nanti

IPOH, 15 DIS: Kos perbelanjaan untuk membeli bekalan vaksin bagi disuntik kepada pendatang asing di negara ini akan diumumkan bila tiba masanya, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye.

Beliau berkata, kementeriannya akan mengadakan perbincangan dengan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai perkara itu, pada minggu hadapan.

“Buat sementara waktu kita lebih menumpukan kawalan polio dan seterusnya mungkin perlu mengkaji keperluan vaksin penyakit lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program ‘Placemaking Festival 2019’ di Dewan Konvensyen GRC di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) akan cuba mendapatkan kerjasama daripada kerajaan Filipina untuk mendapatkan vaksin memandangkan negara itu memperoleh bekalan vaksin yang lebih murah.

Pada minggu lepas, media melaporkan seorang bayi lelaki berusia tiga bulan dari Tuaran, Sabah dijangkiti virus polio, iaitu kes pertama selepas 27 tahun Malaysia bebas daripada penyakit itu.

Dalam pada itu, Dr Lee berkata, kementeriannya kini lebih menumpukan pemberian suntikan vaksin kepada pendatang asing termasuk warganegara di Sabah.

“Di Sabah khususnya di kawasan pesakit polio berlaku kita telah buat vaksinasi 100 peratus untuk warganegara Malaysia dan asing.

“Kita juga telah berbincang dengan UNICEF dan WHO dan kita harap kita boleh memperluaskan vaksin ini meliputi kanak-kanak tanpa dokumen sebab bukan setakat melindungi kanak-kanak warga asing tetapi juga kanak-kanak warga Malaysia,” katanya.

Ketika ditanya sama ada KKM akan mandatori suntikan imunisasi kepada kanak-kanak, beliau berkata, setakat ini tiada keperluan untuk perkara itu.

“Selepas usaha pendidikan dan penerangan diberi kepada ibu bapa kadar vaksinasi meningkat dan telah mencapai 95 peratus ke atas.

“Jadi ini bermaksud komuniti di Malaysia telah dapat perlindungan daripada penyakit dan boleh dielak melalui vaksin. Jadi buat sementara waktu tiada keperluan untuk kita wajibkan vaksin,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kawal selia vape: Ambil kira kandungan cecair, jualan di pasaran

PUTRAJAYA, 30 NOV: Kandungan cecair vape dan penjualannya di pasaran adalah antara aspek yang diambil kira dalam proses merangka undang-undang berkaitan kawal selia rokok elektronik (vape).

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, hal ini bagi memastikan kandungan cecair vape tidak dicampurkan dengan bahan kimia lain dan penjualannya hanya terhad kepada golongan dewasa sahaja.

“Kami mahu memastikan golongan remaja khususnya bawah 18 tahun tidak terdedah kepada gejala vaping yang akhirnya mengundang kepada ketagihan dan kerosakan akhlak.

“Penjualan rokok elektronik juga wajib dilabelkan jika mengandungi cecair vape bagi memastikan ia tidak dicampurkan dengan bahan yang mengandungi dadah berbahaya untuk keselamatan pengguna,” katanya kepada Bernama dalam satu wawancara khas.

Dalam undang-undang sedia ada ketika ini, dua peruntukan mengawal penggunaan nikotin iaitu di bawah Akta Racun di mana preskripsi nikotin hendaklah dilakukan oleh pengamal perubatan berdaftar dengan kementerian dan orang biasa sama sekali tidak dibenarkan menjual nikotin.

Justeru, Dr Lee berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan beberapa kementerian dan agensi terlibat antaranya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Kewangan dan Polis Diraja Malaysia dalam menggubal penguatkuasaan peraturan itu.

“Seperti mana rokok tembakau, kami juga mahu menguatkuasakan penggunaan vape di kawasan terbuka dan tertutup seperti di restoran dan taman-taman awam, selain mengambil kira harga jualan dan pelaksanaan cukai.

“Namun demikian, kami masih dalam peringkat permulaan iaitu drafnya telah dihantar kepada AGC (Pejabat Peguam Negara) buat masa ini, dan jika tiada halangan dijangka siap dan dibentangkan di Parlimen sekurang-kurangnya tahun hadapan,” katanya.

Dr Lee berkata, setakat ini tiada bukti yang menunjukkan bahawa remaja lelaki yang dimasukkan ke Hospital Nuklues Labuan akibat menghisap vape pada 8 November lalu menghidapi penyakit Evali.

Penyakit maut yang berlaku di Amerika Syarikat itu berpunca daripada penyalahgunaan produk Vitamin E asetat dan tetrahydrocannabinol (THC) iaitu bahan dadah yang dicampurkan dalam cecair vape.

“Kami masih lagi menyiasat punca kes pesakit di Labuan itu dan tiada tanda yang menunjukkan bahawa dia menghidap penyakit Evali.

“Namun buat masa sekarang di Malaysia, kandungan cecair vape tidak dikesan mempunyai bahan dadah berbahaya itu selain nikotin, bagaimanapun penyiasatan dan kajian masih dijalankan secara menyeluruh supaya penyakit itu tidak berlaku dalam kalangan perokok vape di Malaysia,” katanya.

Penyakit misteri paru-paru itu diberi kod nama EVALI iaitu gabungan e-rokok, vape atau produk berkaitan kecederaan paru-paru yang mana telah menyebabkan 39 kematian membabitkan pengguna vape di Amerika Syarikat setakat ini.

Pada 8 November lalu, seorang remaja lelaki telah dimasukkan ke Hospital Nukleus Labuan dan menerima rawatan untuk kerosakan bahagian dalaman paru-paru, disyaki akibat menghisap vape, menjadikan kes pertama yang dilaporkan di Labuan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tindakan tegas jika ‘ghost smoke’ ada nikotin

KUALA LUMPUR, 24 JUL: Kementerian Kesihatan akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang mengedar dan menjual gula-gula ‘Ghost Smoke’ sekiranya bahan nikotin ditemukan dalam kandungan produk itu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, ini kerana penjualan nikotin tanpa lesen di pasaran terbuka adalah salah di sisi undang-undang dan aktiviti penjualan hanya boleh dilakukan oleh ahli farmasi berlesen serta pengamal perubatan berdaftar.

“Kementerian telah memulakan kajian serta penelitian melalui sebuah jawatankuasa untuk mengenal pasti kesan memakan gula-gula ‘Ghost Smoke’ kepada kesihatan kanak-kanak dan hasil kajian itu akan diambil serius pihak kami.

“Sekiranya gula-gula ‘Ghost Smoke’ ini ada kandungan nikotin, kementerian boleh terus keluarkannya daripada pasaran dan mereka yang menjual itu juga boleh diambil tindakan,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara di Bernama News Channel, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media mengenai kebimbangan ibu bapa berhubung penjualan gula-gula itu yang mengeluarkan asap seakan-akan rokok apabila disedut.

Menurut Dr Lee, sekiranya pelabelan gula-gula itu menepati piawaian dan tiada bahan terlarang ditemukan, kementerian tidak mempunyai kuasa untuk melarang penggunaan dan pengedarannya dalam pasaran.

Bagaimanapun katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Jabatan Kastam boleh mengambil tindakan di bawah bidang kuasa masing-masing sekiranya penjualan gula-gula itu didapati tidak mematuhi peruntukan dalam penjualan dan pengedaran.

“Kami semua masih mengkaji sama ada pelabelan dan kandungan yang dipamerkan adalah selamat ataupun sama seperti yang terkandung dalam gula-gula itu.

“Di Kementerian Kesihatan, kami cenderung untuk melarang produk ini di pasaran kerana ia mempunyai unsur galakan kanak-kanak untuk terlibat dalam tabiat merokok apabila dewasa kelak,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Penyelidikan perubatan tradisional masih minimum

KUALA LUMPUR, 9 JULAI: Universiti dan institusi tempatan perlu meningkatkan usaha untuk menjalankan penyelidikan berhubung Perubatan Tradisional dan Komplementari (T & CM) di Malaysia, yang menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye masih berada di peringkat minimum.

Beliau berkata, penyelidikan saintifik mengenai perubatan tradisional tempatan adalah penting untuk pangkalan data domestik kerana ia mempunyai akar umbi sejarah dan budaya yang kukuh serta sesuai dengan suasana setempat.

“Kita perlu mengumpul data berkenaan dari penyelidikan menggunakan sampel kita sendiri kerana Malaysia adalah negara tropika dengan latar belakang berbilang etnik dan berbilang budaya,” katanya dalam ucapannya pada majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA), di sini semalam.

Memorandum itu ditandatangani Presiden Universiti Tunku Abdul Rahman, Prof Datuk Dr Chuah Hean Teik; Pengerusi Eksekutif Kumpulan Hai-O Enterprise Berhad, Tan Kai Hee dan presiden Hospital Tung Shin, Tan Sri Khoo Chai Kaa.

Melalui perjanjian itu, ketiga-tiga pihak bakal bekerjasama dalam projek penyelidikan bersama untuk menentukan pembedaan sindrom pesakit kanser payudara yang dirawat melalui bahan ubatan-ubatan tradisional Cina.

Boon Chye berkata, walaupun sistem penjagaan kesihatan negara banyak berasaskan perubatan barat konvensional, namun T & CM digunakan dan dimanfaatkan secara meluas.

“Dalam laporan NHMS (Tinjauan Kesihatan Kesihatan dan Morbiditi) 2015, 29 peratus daripada Malaysia dilaporkan pernah menggunakan T & CM,” katanya.

Sehingga kini, Malaysia mempunyai 15 hospital awam yang menyediakan amalan T & CM meliputi akupunktur, ubat herba sebagai terapi adjunktif untuk kanser dan terapi tradisional selepas bersalin.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Jangan jadikan kaedah alternatif rawatan utama kanser

GOPENG, 6 JUL: Pesakit kanser dinasinati supaya tidak menjadikan rawatan alternatif atau perubatan homeopati sebagai rawatan utama, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.

Beliau berkata sehingga kini ini tiada kajian membuktikan perubatan homeopati dapat merawat kanser berbanding rawatan di hospital yang telah diluluskan terbukti mampu mengubati penyakit kanser.

“Pesakit perlu faham tujuan rawatan alternatif ini. Sebagai contoh, rawatan kanser payudara ada bukti saintifik ia boleh dirawat melalui pembedahan, kemoterapi, radioterapi dan ubat spesifik yang jelas telah buktikan kemandirian untuk pesakit.

Untuk rawatan alternatif, ia cuma membantu jadi jangan gunakan rawatan alternatif atau homeopati sebagai rawatan primary (utama), jangan. Ia boleh membantu semasa pesakit menerima rawatan daripada hospital,” katanya ketika berucap di majlis perasmian Program Kesedaran Kanser Wanita dan Kesejahteraan Keluarga peringkat Parlimen Gopeng di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Lee yang juga Ahli Parlimen Gopeng berkata selain menjalani rawatan di hospital, sokongan daripada keluarga dan masyarakat amat diperlukan bagi dapat membantu pesakit kanser melalui saat genting tersebut.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Datuk Dr Narimah Awin berkata mengikut data pihaknya, sejak ujian saringan mamogram secara percuma dilancarkan pada 2007 hingga 30 Jun lepas hanya 368,786 wanita memanfaatkannya.

Katanya daripada jumlah itu, 43 peratus adalah daripada kaum Cina, 39 peratus Melayu dan sembilan peratus, India.

“Daripada 368,786 wanita yang telah melakukan saringan, seramai 39,861 perlukan penyiasatan lanjut, manakala 705 positif kanser dan selebihnya normal,” katanya sambil menasihati wanita agar meningkatkan kesedaran melakukan ujian saringan kanser. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Rang undang-undang baharu kawal penggunaan vape, rokok elektronik dijangka dibentang hujung tahun

KLANG, 5 JUL: Rang undang-undang baharu berkaitan kawalan pengunaan rokok elektronik atau vape dan sisha dijangka dibentang di Parlimen pada akhir tahun ini atau sesi tahun depan, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.

Beliau berkata jawatankuasa khas berkaitan isu itu yang dipengerusikan olehnya ketika ini sedang merangka undang-undang baharu berkenaan memandangkan pihaknya masih memerlukan pandangan semua pihak termasuk penglibatan pemegang taruh.

“Jawatankuasa khas ini baharu diwujudkan minggu lepas dan kami akan bermesyuarat dalam masa terdekat untuk mencari kaedah terbaik mengawal penggunaan vape, sisha dan juga rokok.

“Kita tahu bahawa 90 peratus daripada kandungan cecair vape mengandungi nikotin yang boleh menyebabkan ketagihan kepada bahan tersebut.

“Apa yang kita lihat, pengguna vape pada mulanya menganggap menghisap vape sebagai satu trend namun ketagihan itu dibimbangi mampu mendorong pula untuk bertukar kepada menghisap rokok,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan acara memberus gigi beramai-ramai secara berirama di Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai, di sini hari ini.

Pada 27 Jun lepas, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas berkenaan untuk merumus kaedah kawalan terhadap penggunaan rokok elektronik.- BERNAMA