Categories
AGENDA NASIONAL

Dua lelaki maut kereta rempuh pam stesen minyak

JOHOR BAHRU, 4 JAN: Dua lelaki maut manakala seorang wanita cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan melanggar pam minyak di sebuah stesen minyak di Kampung Melayu Pandan di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata mereka yang maut adalah pemandu kereta, Prem Jayapal, 32, dan penumpang hadapan, S. Katiravan, 33, manakala wanita yang cedera adalah penumpang belakang, Lim Wei Si, 21 tahun.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila Honda City berwarna hitam dari arah Pandan menghala ke Kota Tinggi itu terbabas ketika melalui satu selekoh dan melanggar tembok pembahagi jalan di susur masuk stesen minyak itu.

“Kereta itu kemudian berpusing dan melanggar tembok tiang pam minyak,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Shahurinain berkata akibat dari kemalangan itu, Prem Jayapal terpelanting keluar dan tersepit di bawah kereta berhampiran pintu hadapan sebelah pemandu manakala Katiravan masih berada di dalam kereta berkenaan, di tengah-tengah antara kedudukan bahagian pemandu dengan penumpang hadapan.

Beliau berkata kedua-dua mereka disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan oleh pegawai perubatan.

“Wanita berkenaan pula cedera di kepala dan kini menerima rawatan di zon kuning Hospital Sultan Ismail (HSI), namun, masih boleh bercakap ketika ditemui,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini waris mangsa belum tampil membuat laporan kematian dan kemalangan berkenaan kini disiasat lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau Pegawai Bomba Kanan II Khairul Azhar Abd Aziz menerusi kenyataan berkata Pusat Gerakan Operasi Bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu kira-kira jam 6.26 pagi ini dan lapan anggota bersama sebuah jentera FRT (Fire Rescue Tender) serta sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke tempat kejadian.

“Setibanya di lokasi kejadian, didapati benar berlaku kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kereta jenis Honda City yang terbabas dan melanggar pam stesen minyak,” katanya dengan menambah bomba kemudian membantu mengeluarkan mayat Katiravan.

Beliau berkata operasi menyelamat kemudian ditamatkan kira-kira jam 7.40 pagi ini.

-BERNAMA