Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

KKM kumpul data jumlah pesakit dijangkiti influenza

KUALA LUMPUR, 20 JAN: Dalam usaha mengenalpasti bilangan mereka yang dijangkiti Influenza A (H1N1) di seluruh negara sehingga ini, data daripada semua fasiliti di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan daripada pihak-pihak yang berkaitan sedang dikumpul.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata ia akan mengambil sedikit masa memandangkan H1N1 hanya penyakit bermusim dan tidak perlu dinotifikasi.

“…kami memerlukan sikit masa untuk kumpul semua data dan maklumat daripada semua fasiliti KKM malah juga daripada Kementerian Pendidikan, juga Sabah dan Sarawak, seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Hospital Tunku Azizah di sini yang disempurnakan oleh Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di sini, hari ini.

Hospital Tunku Azizah sebelum ini dikenali sebagai Hospital Wanita dan Kanak-kanak Kuala Lumpur.

Beliau mengulas laporan media mengenai jangkitan itu yang terbaharu dilaporkan berlaku di Sabah dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) merekodkan 12 murid sekolah rendah dijangkiti H1N1 pada Jumaat lepas.

Dr Dzulkefly berkata sebarang kenyataan berhubung H1N1 akan dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

– BERNAMA