Categories
AGENDA NASIONAL

Majlis Konsultatif Keselamatan dan Ketenteraman Awam bakal ditubuhkan

PUTRAJAYA, 16 JAN: Majlis Konsultatif Keselamatan dan Ketenteraman Awam (MKKKA) kini dalam proses ditubuhkan bagi menambah baik pengurusan isu semasa berkaitan ancaman keselamatan, kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bercakap dalam sidang media selepas menyampaikan majlis amanat tahun baharu Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini, Muhyiddin berkata MKKKA akan dianggotai oleh wakil komuniti, pertubuhan bukan kerajaan dan pegawai tertinggi KDN.

Beliau berkata MKKKA antaranya menjadi platform perkongsian idea dan perbincangan isu semasa berhubung keselamatan dan ketenteraman awam, serta mendapatkan maklum balas dan pandangan berkaitan keberkesanan dasar dan program KDN dalam menangani perkara berkenaan.

“Ia bertujuan mendapatkan maklum balas, cadangan dan pandangan secara terus daripada pemimpin masyarakat tentang apa yang sedang KDN laksana. Penambahbaikan, pindaan undang-undang yang sesuai boleh dicadangkan dalam majlis ini,” katanya.

Menurutnya, keanggotaan MKKKA dalam kalangan tokoh-tokoh serta mereka yang pakar dan mahir dalam isu berkaitan ketenteraman awam sudah dikenal pasti dan majlis berkenaan dijangka mula bermesyuarat pada tahun ini.

“Siapa saja yang duduk di situ (MKKKA) boleh bantu kerajaan untuk sampaikan rasa tidak puas hati dari sudut tindakan SOP (prosedur operasi standard) yang kami (agensi di bawah KDN) guna,” katanya.

Mengakui keselamatan dan ketenteraman awam kini lebih mencabar terutama dari aspek keselamatan siber dan jenayah rentas sempadan, Muhyiddin berkata KDN perlu memastikan negara selamat daripada ancaman seumpama itu.

Muhyiddin berkata KDN juga memberi tumpuan kepada usaha mengekang dan membanteras aktiviti pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan melalui inisiatif The New Non Profit Organization Financial Environment Management di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

Menurutnya, inisiatif itu berupaya mengenal pasti pertubuhan berdaftar yang disalahgunakan untuk tujuan pengubahan wang haram dan membiayai aktiviti keganasan.

“Jangan ada pertubuhan yang digunakan bagi tujuan itu (membiayai keganasan) atas tiket kebajikan, pendidikan atau sebagainya,” katanya, sambil menambah pembiayaan keganasan merupakan satu isu yang dihadapi bukan sahaja oleh Malaysia tetapi seluruh dunia.

Menurut Muhyiddin, JPPM kini sedang meneliti laporan kewangan tahunan yang dihantar oleh pelbagai pertubuhan mengikut Akta Pertubuhan, serta menegaskan langkah itu bukan bertujuan untuk mengganggu mana-mana pertubuhan.

“Bukan (kerajaan) nak harass atau nak kawal pertubuhan. Tetapi jika ada bukti, KDN akan beri perhatian serius,” katanya.

-BERNAMA