Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MPSJ berstatus bandar raya Februari ini

SUBANG JAYA, 21 JAN: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bakal diisytihar secara rasmi sebagai bandar raya pada Februari ini, kata yang dipertuanya.

Noraini Roslan berkata MPSJ sudah menerima surat kelulusan Kerajaan Persekutuan berhubung perkara itu pada Rabu lalu.

“Sekarang kita menunggu perkenan Tuanku (Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah). Selepas dapat perkenan dan dokumen berkaitan kita umumkan secara rasmi status MPSJ pada Februari,” katanya selepas menyampaikan Anugerah Sekolah Sejahtera dan merasmikan Program Generasi Bestari (Smart Gen) MPSJ 2020 di Universiti Sunway di sini hari ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya, Noraini Roslan merasmikan program Generasi Bestari (Smart Gen) dan penyampaian Anugerah Sekolah Sejahtera serta Pelancaran Program Generasi Bestari (Smart Gen) MPSJ 2020 di Universiti Sunway, Petaling Jaya, 21 Januari 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Dalam perkembangan lain, Noraini berkata, MPSJ komited melaksanakan inovasi sosial bagi mewujudkan sebuah bandar raya mampan selain Bandar Hijau menjelang 2030.