Categories
AGENDA NASIONAL

Plus tutup semua lorong tambah nilai mulai esok

SHAH ALAM, 21 JAN: PLUS Malaysia Berhad (Plus) akan menutup semua operasi lorong tambah nilai di plaza tol masuk seliaan syarikat itu bermula esok hingga 3 Februari ini.

Syarikat pengendali lebuh raya dalam kenyataan hari ini memaklumkan, penutupan itu bagi mengurangkan kesesakan berikutan pelanggan beratur di lorong tambah nilainya sekali gus melancarkan pergerakan trafik pada musim cuti perayaan Tahun Baharu Cina.

“Bagi memastikan perjalanan lebih selesa, Plus menasihatkan pelanggan terlebih dahulu merancang perjalanan dan paling utama menambah nilai kad Touch ‘n Go lebih awal bagi memastikan kad mereka mempunyai baki mencukupi,” katanya.

Katanya, pada musim perayaan kali ini sebanyak dua juta kenderaan dijangka menggunakan lebuh raya seliaannya terutama waktu puncak iaitu pada 22, 23, 24, 27, 28 dan 31 Januari serta 1 Februari.

“Oleh yang demikian, pergerakan di plaza tol dijangka akan terjejas sekiranya terdapat pelanggan yang terkandas dan mempunyai baki Touch ‘n Go tidak mencukupi.

“Apabila kejadian sebegini berlaku, sudah pasti ianya menganggu keselesaan dan kelancaran perjalanan pelanggan lain,” katanya.