Categories
AGENDA NASIONAL

Aplikasi PLUS bantu pengguna jalan raya rancang perjalanan

KUALA LUMPUR, 18 JAN: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menyediakan platform digital Aplikasi PLUS bagi membolehkan pengguna jalan raya merancang perjalanan dan mendapatkan maklumat trafik terkini termasuk perkhidmatan bantuan PLUSRonda bagi mereka yang terkandas di lebuh raya.

Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail berkata kira-kira 380,000 pengguna telah memuat turun aplikasi yang diperkenalkan pada 2014 itu, sekali gus menikmati pengalaman perjalanan yang lebih selamat dan selesa di lebuh raya.

“Aplikasi ini membolehkan pengguna jalan raya melihat sendiri paparan kamera litar tertutup (CCTV) keadaan trafik di lokasi-lokasi kritikal di lebuh raya.

“Bagi pengguna jalan raya yang terkandas atau mengalami masalah kerosakan kenderaan di lebuh raya, mereka boleh menggunakan Aplikasi PLUS untuk mendapatkan bantuan pasukan PLUSRonda dengan menekan butang SOS,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata sebaik sahaja butang SOS ditekan pada telefon bimbit, petugas PLUS dapat mengetahui kedudukan pengguna jalan raya di lebuh raya kendaliannya.

“Sejurus memperoleh maklumat daripada butang SOS, pegawai Pusat Kawalan Trafik PLUS akan menghubungi pengguna jalan raya itu secepat mungkin untuk mendapatkan maklumat lebih terperinci tentang masalah yang dihadapi sebelum pasukan PLUSRonda diarahkan untuk ke lokasi dengan segera,” katanya.

Selain itu, katanya, aplikasi itu juga menyediakan kalkulator tol untuk memudahkan pelanggan mendapatkan maklumat bayaran tol serta membuat prapesanan makanan di hentian rawat dan rehat (R&R) terpilih atau berinteraksi dengan PUTRI, ‘chatbot’ pertama industri lebuh raya untuk mendapatkan pelbagai maklumat tentang PLUS.

Aplikasi PLUS yang kali terakhir dinaik taraf pada Disember 2020 boleh dimuat turun secara percuma melalui Google Play Store bagi peranti android atau App Store untuk pengguna iPhone.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PLUS sedia 221 pasukan ronda hadapi Krismas, tahun baharu

KUALA LUMPUR, 23 DIS: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan Senai-Desaru Expressway (E22) menyediakan seramai 221 pasukan rondaan di Lebuhraya Utara-Selatan dan E22 sebagai persediaan menghadapi Krismas dan tahun baharu.

Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail berkata pasukan itu, yang terdiri daripada 548 pegawai PLUSRonda dan Pasukan Keselamatan E22, akan melakukan rondaan secara berterusan di kedua-dua lebuh raya.

“Kehadiran mereka adalah untuk menjaga perjalanan orang ramai yang akan bercuti menyambut Krismas dan Tahun Baharu serta memberikan bantuan kepada pelanggan pada bila-bila masa.

“Lebuhraya Utara-Selatan dan E22 menyediakan perjalanan lebih pantas dan lebih selesa ke Desaru menerusi Persimpangan Senai Utara yang mengambil masa kurang daripada 1 jam,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata di E22, pengguna lebuh raya memerlukan masa kira-kira 45 minit untuk sampai ke Persimpangan Bandar Penawar dengan jarak perjalanan 70 kilometer.

Azman berkata pengguna terbabit boleh meneruskan perjalanan ke Desaru melalui Jalan Persekutuan FT92 dengan jarak kira-kira 10 kilometer menerusi E22 dari Persimpangan Senai Utara PLUS.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Senai-Desaru Expressway Berhad (SDEB) Jamal Abd Nasir Taharim berkata kawasan Rehat dan Rawat (R&R) yang disediakan di kedua-dua lebuh raya dapat membantu pengguna menikmati perjalanan selesa.

“R&R PLUS yang berada di Seremban, Ayer Keroh, Pagoh dan Machap serta R&R E22 di R&R Layang menyediakan pelbagai jenis kemudahan untuk kegunaan pengguna lebuh raya,” menurutnya dalam kenyataan sama.

PLUS dan E22 juga menasihati orang ramai yang ingin melakukan perjalanan untuk bercuti pada hujung tahun ini supaya sentiasa mematuhi semua peraturan jalan raya yang ditetapkan serta menyediakan kemudahan pembayaran seperti Touch ‘n Go dan e-Dompet dengan jumlah wang yang mencukupi.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Plus: Jalan susur masuk Bangi ke Kajang ditutup untuk selenggara

SHAH ALAM, 1 SEPT: Jalan susur masuk Bangi ke Kajang di Persimpangan Bertingkat Kajang, Lebuhraya Utara-Selatan akan ditutup kepada semua kenderaan mulai hari ini hingga 8 September, mulai jam 10 malam hingga 5 pagi.

Plus Malaysia Berhad (Plus) dalam kenyataan menjelaskan penutupan itu bagi membolehkan kerja penyelenggaran pemotongan pokok besar menggunakan jentera khas untuk meningkatkan tahap keselamatan di sepanjang laluan tersebut.

“Pelanggan lebuh raya dari arah selatan atau Bangi yang ingin ke Kajang dinasihatkan untuk menggunakan laluan alternatif dengan keluar dari lebuh raya menggunakan Plaza Tol Bangi atau Plaza Tol UPM,” menurut kenyataan tersebut.

Plus turut menasihatkan pengguna lebuh raya supaya merancang perjalanan, menggunakan laluan alternatif serta mematuhi semua papan tanda dan arahan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Plus tutup dua lorong Lebuhraya Elite mulai esok

SHAH ALAM, 11 JULAI: Dua lorong di Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite) akan ditutup kepada semua kenderaan mulai esok hingga 17 Julai untuk kerja penyelenggaraan meningkatkan tahap keselamatan.

Plus Malaysia Berhad (Plus) dalam kenyataan memaklumkan penutupan melibatkan lorong perlahan dan kecemasan di KM23.14 hingga KM24.21 (arah selatan).

“Plus meneruskan usaha untuk meningkatkan tahap keselamatan di antara Persimpangan Bertingkat Putrajaya-Gamuda Cove di Lebuhraya Elite dan penutupan ini membolehkan kerja penyelenggaraan turapan jalan dapat dilaksanakan dengan selamat di sepanjang laluan tersebut,” katanya.

Syarikat pengendali lebuh raya menasihatkan orang ramai boleh menggunakan laluan alternatif iaitu jalan susur ke Rawat dan Rehat (R&R) Dengkil untuk meneruskan perjalanan ke selatan sekiranya berlaku kesesakan di laluan berkenaan dan mematuhi semua papan tanda lalu lintas serta arahan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pengurangan kadar tol bermula tengah malam ini

KUALA LUMPUR, 31 JAN: Bermula tengah malam ini, jutaan pengguna di semua lebuh raya Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) akan menikmati pengurangan kadar tol sebanyak 18 peratus bagi penggunaan kenderaan persendirian.

Langkah mengurangkan kadar tol oleh kerajaan Pakatan Harapan itu akan menyaksikan kadar tol di Lebuhraya Utara Selatan berkurang daripada 13.6 sen/km kepada 11.15 sen/km, lebih rendah berbanding tahun 1999 iaitu 11.24 sen/km.

Ini bermakna, mulai 12.01 tengah malam ini pengguna lebuh raya dari tol Jalan Duta ke Alor Setar hanya membayar RM45.50 berbanding RM55.50, manakala dari tol Jalan Duta ke Skudai pula, kadar yang ditetapkan sekarang ialah RM38.50 berbanding RM47 sebelum ini.

Usaha kerajaan Pakatan Harapan untuk manfaat rakyat itu diputuskan Jemaah Menteri yang bermesyuarat pada 15 Januari dan Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan menyebut bahawa langkah itu selaras dengan pengumuman yang dibuat pada Belanjawan 2020.

Pengguna lebuh raya PLUS juga boleh menarik nafas lega apabila kadar itu tidak akan meningkat sehingga tempoh konsesi tamat pada 2058.

Diskaun kadar tol sebanyak 18 peratus itu akan diberikan kepada kenderaan penumpang, bas dan teksi (iaitu kelas 1, 4 dan 5) di lebuh raya yang terlibat iaitu:

– Lebuhraya Baru Lembah Kelang (NKVE)- Lebuhraya Utara-Selatan Lingkaran Tengah (ELITE)
– Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia – Singapura (LINKEDUA)
– Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2)
– Lebuhraya Seremban – Port Dickson (SPDH)
– Lebuhraya Butterworth – Kulim (BKE)

Diskaun itu juga akan digunapakai bagi kenderaan kelas 2, 3, 4 dan 5 bagi Jambatan Pulau Pinang.

Sejajar dengan keputusan kerajaan itu, tempoh konsesi di semua lebuh raya PLUS dilanjutkan selama 20 tahun dari tahun 2038 ke 2058 dan ini bagi memastikan PLUS mampu meneruskan penyelenggaraan dan operasi lebuh raya mereka tanpa bergantung kepada kerajaan.

Kerajaan yakin keputusan itu akan memberi banyak manfaat melalui pengurangan beban kadar tol dan pada masa sama membolehkan PLUS untuk terus beroperasi dengan kedudukan kewangan yang baik.

Kerajaan juga tidak lagi akan menanggung beban membayar pampasan kepada PLUS yang bakal menjimatkan RM42 bilion sepanjang tempoh konsesi itu sekali gus penjimatan itu boleh digunakan oleh kerajaan untuk inisiatif yang menguntungkan rakyat.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Plus tutup semua lorong tambah nilai mulai esok

SHAH ALAM, 21 JAN: PLUS Malaysia Berhad (Plus) akan menutup semua operasi lorong tambah nilai di plaza tol masuk seliaan syarikat itu bermula esok hingga 3 Februari ini.

Syarikat pengendali lebuh raya dalam kenyataan hari ini memaklumkan, penutupan itu bagi mengurangkan kesesakan berikutan pelanggan beratur di lorong tambah nilainya sekali gus melancarkan pergerakan trafik pada musim cuti perayaan Tahun Baharu Cina.

“Bagi memastikan perjalanan lebih selesa, Plus menasihatkan pelanggan terlebih dahulu merancang perjalanan dan paling utama menambah nilai kad Touch ‘n Go lebih awal bagi memastikan kad mereka mempunyai baki mencukupi,” katanya.

Katanya, pada musim perayaan kali ini sebanyak dua juta kenderaan dijangka menggunakan lebuh raya seliaannya terutama waktu puncak iaitu pada 22, 23, 24, 27, 28 dan 31 Januari serta 1 Februari.

“Oleh yang demikian, pergerakan di plaza tol dijangka akan terjejas sekiranya terdapat pelanggan yang terkandas dan mempunyai baki Touch ‘n Go tidak mencukupi.

“Apabila kejadian sebegini berlaku, sudah pasti ianya menganggu keselesaan dan kelancaran perjalanan pelanggan lain,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PLUS kekal milik kerajaan, kadar tol turun 18 peratus

SHAH ALAM, 16 JAN: Kadar tol akan diturunkan sebanyak 18 peratus secara langsung mulai tahun ini kata perdana menteri.

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan memutuskan pengendali lebuh raya terbesar, Plus Malaysia Bhd (PLUS) tidak akan dijual sebaliknya kekal menjadi milik kerajaan, lapor Malaysiakini.

“Akhirnya kerajaan memutuskan kaedah terbaik ialah tidak menjual PLUS kepada sesiapa, sebaliknya mengekalkan ia dengan Khazanah dan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja).

“Kita akan berikan diskaun 18 peratus,” katanya di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau juga memberitahu, tiada kenaikan kadar tol untuk semua lebuh raya kendalian PLUS.

Categories
AGENDA NASIONAL

PLUS lebuh raya pertama rangkul anugerah Mob-Ex

PETALING JAYA, 14 SEPT: Kempen ‘Senyuman Sepanjang Jalan’ berjaya mengangkat PLUS Malaysia Berhad (PLUS) sebagai syarikat pengendali lebuh raya pertama menerima anugerah Mob-Ex anjuran Marketing Magazine di Singapura, pada 30 Ogos lalu.

Kejayaan itu dicapai menerusi kempen dijalankan melalui aplikasi PLUS pada musim cuti persekolahan hujung tahun lalu.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, anugerah terkemuka di Asia Tenggara itu diberikan untuk mengiktiraf kempen pemasaran paling inovatif, kreatif dan berkesan.

“Pencapaian PLUS di peringkat Asia Tenggara amat istimewa kerana ia mengukur keupayaan jenama syarikat ini berbanding yang lain walaupun ia adalah kali pertama kami menyertainya.

“Ia juga membuktikan kejayaan kempen diadakan dalam membawa jenama PLUS ke peringkat lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada anugerah berkenaan, PLUS membawa pulang tiga anugerah Mob-Ex iaitu Aplikasi Terbaik bagi kategori Perkhidmatan Kerajaan (Anugerah Perak), Key Opinion Leader (KOL) Terbaik (Anugerah Gangsa) serta Aplikasi Terbaik bagi kategori Hospitaliti dan Perjalanan (Anugerah Gangsa) di Hotel Shangri-La, Singapura.

Azman berkata, kemenangan PLUS juga adalah pengiktirafan daripada pakar pemasaran mudah alih di rantau ini mengenai kualiti dan keberkesanan program pemasaran mudah alih PLUS menerusi Aplikasi PLUS serta Kempen ‘Senyuman Sepanjang Jalan’.

“Ia juga mengiktiraf program transformasi digital PLUS dan PLUS secara keseluruhan untuk memberi perkhidmatan serta meningkatkan pengalaman perjalanan lebih baik kepada pelanggan kami di setiap perjalanan mereka,” katanya.

Terdahulu, kesemua anugerah disampaikan penganjur dan rakan kerjasama kepada Ketua Pegawai Komersil PLUS, Christine Liew.

Sementara itu, sebanyak 81 pemenang daripada 27 kategori dipertandingkan turut menerima anugerah terbabit.

Antara pemenang yang menerima anugerah dalam kategori sama adalah Sport Singapore dan Workforce Singapore (Aplikasi Terbaik bagi Perkhidmatan Kerajaan), Malaysia Digital Economy Corporation dan XL Axiata (Key Opinion Leader Terbaik) serta Resorts World Sentosa dan UOB (Aplikasi Terbaik bagi Hospitaliti dan Perjalanan).

Categories
AGENSI SELANGOR

Zakat RM2.77 juta untuk asnaf, fakir, miskin di Selangor sepanjang 2018

SUBANG JAYA, 17 OGOS: Penyedia perkhidmatan lebuh raya, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengeluarkan wang zakat keseluruhan RM2.77 juta untuk diagihkan kepada golongan asnaf, fakir dan miskin di Selangor, sepanjang tahun lalu.

Pengarah Urusannya, Datuk Azman Ismail berkata, bagi tempoh perniagaan sama, pihaknya memperuntukkan RM17 juta untuk diagihkan kepada golongan berkenaan di seluruh negeri yang berada di bawah kendalian syarikat itu.

“Antara negeri terbabit adalah Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Terengganu.

“Pengeluaran zakat ini dijalankan setiap tahun, malahan tahun lalu kita turut membuat perkara sama kerana sudah tentu kita mementingkan mereka yang berada di sepanjang jajaran PLUS,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita ketika ditemui pada program Sumbangan Zakat PLUS Bersama Penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 2 di Dewan PPR berkenaan di sini, hari ini.

Datuk Azman Ismail. Foto FIKRI YUSOF/SELANGOKINI.

Hadir sama, EXCO Perumahan Dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha.

Mengenai program hari ini, Azman berkata, seramai 300 asnaf dan fakir miskin yang berada di sekitar Ibu Pejabat PLUS menerima zakat membabitkan peruntukan RM150,000.

Katanya, setiap asnaf menerima sumbangan sebanyak RM500 yang sedikit sebanyak mampu meringankan beban ditanggung golongan berkenaan.

“Ini adalah sebahagian daripada zakat yang kami keluarkan kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) pada Ramadan lalu, jadi pengagihan secara langsung ini sudah mendapat kelulusan daripada LZS untuk diagihkan,” katanya.

Categories
EXCO SELANGOR

PLUS disaran wujud program pemberdayaan untuk wanita B40

SUBANG JAYA, 17 OGOS: Penyedia perkhidmatan lebuh raya terbesar negara ini, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dicadang mewujudkan satu program pemberdayaan khusus kepada wanita golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) pada masa hadapan.

EXCO Perumahan Dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata, cadangan Kerajaan Negeri itu wajar diketengahkan bagi memberi peluang kepada golongan terbabit menjana pendapatan dengan membantu daripada segi kegiatan ekonomi.

“Saya difahamkan memang ada program khas diwujudkan untuk usahawan mikro wanita bagi membolehkan mereka membuka kedai runcit di Pusat Hentian Rawat Dan Rehat (R&R) PLUS.

“Ini sangat menarik kerana ia akan membantu golongan B40 untuk menambah pendapatan bagi menyara keluarga, sekali gus mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita ketika ditemui pada program Sumbangan Zakat PLUS Bersama Penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 2 di Dewan PPR itu di sini, hari ini.

Haniza Talha berucap ketika Majlis Penyerahan Zakat kepada Asnaf PPR Lembah Subang 2 bersama PLUS di PPR Lembah Subang 2, Petaling Jaya pada 17 Ogos 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI.

Turut hadir, Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail.

Pada masa sama, Haniza turut menggesa syarikat swasta mahupun badan korporat lain supaya turut berganding bahu dengan kerajaan mahupun komuniti setempat dalam mewujudkan lebih banyak program kepada golongan memerlukan.

Katanya, program bersesuaian yang mampu meningkatkan taraf ekonomi golongan terbabit perlu diperbanyakkan demi memacu pembangunan seimbang dan mampan.

“Saya mengalu-alukan dan menunggu semua badan korporat lain yang ada keuntungan daripada pembayar cukai misalnya untuk menjalankan program komuniti seperti ini kerana ia lebih bermakna kepada mereka (usahawan B40),” katanya.

Categories
NASIONAL

‘Tumpang’ buah tangan Aidilfitri PLUS kepada pengguna

OLEH AFIX REDZUAN

SUBANG, 24 MEI: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) buat julung kalinya melancarkan video klip sempena Aidilfitri bertajuk ‘Tumpang’ sebagai penghargaan kepada pengguna di musim perayaan ini.

Video terbabit ditayangkan secara rasminya kepada media pada sesi taklimat Persediaan PLUS menghadapi pertambahan Trafik dan Kempen Aidilfitri di Dewan Bankuet, Persada PLUS, hari ini.

Menampilkan Muhammad Nabil Zakaria sebagai Amir dan Anuar Abd Hamid sebagai Pak Man, ‘Tumpang’ mengisahkan pertemuan mereka di R&R apabila Amir tertinggal bas ketika dalam perjalanan pulang untuk menyambut hari raya di Muar.

Ketua Pegawai Operasinya, Zakaria Ahmad Zabidi berkata, video Aidilfitri ini menceritakan keprihatinan PLUS terhadap pengguna lebuh raya dalam menyediakan perjalanan bermakna.

“Tanpa mengira batasan umur, latar belakang atau keturunan, kita diseru untuk saling menyayangi dan membantu di antara satu sama lain; seperti nilai dibawa PLUS sejak tiga dekad lalu/

“Adalah menjadi tanggungjawab kepada sesiapa berkemampuan dalam hidup ini untuk menghulurkan tangan kepada mereka yang memerlukan.

“Di PLUS, kami cuba melaksanakan tanggungjawab ini dengan memberikan keselesaaan dan kemudahan menerusi infrastruktur serta perkhidmatan lebuh raya kami,” katanya.

Video ‘Tumpang’ boleh ditonton mulai hari ini menerusi laman Facebook PLUS dan YouTube melalui pautan ini https://youtu.be/JlNELUp4ZqE.

 

Categories
NASIONAL

Cermat tunggang motosikal, elak tragedi di lebuh raya

OLEH AFIX REDZUAN

SUBANG, 24 MEI: Pengguna lebuh raya PLUS Malaysia Berhad (PLUS) khususnya penunggang motosikal dinasihatkan supaya berhati-hati sepanjang perjalanan bagi mengelakkan kemalangan terutama di lorong kecemasan.

Ketua Pegawai Operasi, Zakaria Ahmad Zabidi berkata, penunggang motosikal merekodkan kematian lebih 60 peratus berdasarkan statistik kemalangan di lebuh raya dan diharapkan jumlah itu mampu diturunkan tahun ini.

“Berdasarkan statistik Ops Selamat 2018, sejumlah 543 kemalangan direkodkan dengan tujuh kematian berbanding 24 kematian pada 2017.

“Tahun lalu juga merekodkan lebih 60 peratus kemalangan maut membabitkan penunggang motosikal. Untuk 2019, Ops Selamat akan dilakukan bermula 29 Mei sehingga 12 Jun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Persediaan PLUS menghadapi pertambahan Trafik dan Kempen Aidilfitri di Dewan Bankuet, Persada PLUS, hari ini.

Menurutnya, penunggang motosikal dinasihatkan untuk melakukan perjalanan pada siang hari, memakai pakaian cerah atau pantul cahaya serta mengelak dari menggunakan lorong kecemasan.