Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PM serah watikah lantikan kepada KSN baharu

PUTRAJAYA, 2 JAN: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menerima kunjungan hormat daripada Ketua Setiausaha Negara (KSN) baharu Datuk Seri Mohd Zuki Ali dan bekas KSN Tan Sri Dr Ismail Bakar.

Dalam pertemuan di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, Dr Mahathir turut menyampaikan watikah pelantikan sebagai KSN kepada Mohd Zuki dan menyaksikan penyerahan nota serah tugas daripada Ismail kepada KSN baharu itu.

Mohd Zuki yang ditemui media selepas pertemuan selama setengah jam itu berkata, Perdana Menteri meletakkan harapan yang tinggi agar penjawat awam terus dihormati.

“Dalam masa yang sama, penjawat awam juga perlu berusaha untuk menghormati, kerana untuk dihormati kita juga perlu menghormati sama ada peraturan, prosedur atau pemegang taruh (di jabatan atau agensi masing-masing)

“Dan harapan saya kepada penjawat awam mudah-mudahan selepas ini, mereka sentiasa bersedia untuk berhadapan dengan segala kemungkinan luar jangka dan yang paling mustahak hendaklah ikut ikrar perkhidmatan awam dan Rukun Negara,” katanya.

Mohd Zuki turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri dan kerajaan kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk menggalas amanah itu dan akan melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin dan ikhlas.

“Ini untuk memastikan agar penjawat awam terus berjaya melaksanakan amanah seperti yang telah dijanjikan semasa mengangkat sumpah jawatan masing-masing,” katanya.

Mohd Zuki, 58, dilantik sebagai KSN berkuat kuasa 1 Januari 2020 menggantikan Ismail yang bercuti sebelum persaraan wajib.

Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan daripada Nanyang University, Singapura, mempunyai pengalaman luas dalam perkhidmatan awam dan telah berkhidmat selama 28 tahun.

Sebelum pelantikan terkini, Mohd Zuki ialah ketua setiausaha Kementerian Pertahanan.

Beliau pernah berkhidmat di Kementerian Kewangan, Kementerian Pelajaran, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Beliau juga pernah bertugas di Istana Negara, Jabatan Perdana Menteri dan Pejabat Setiausaha Persekutuan Sarawak.

– BERNAMA