Categories
AGENDA NASIONAL

PM: Terima Tahun Melawat Malaysia 2020 sebagai misi nasional

KUALA LUMPUR, 1 JAN: Tun Dr Mahathir Mohamad mahu Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020) diterima sebagai satu misi nasional dengan setiap rakyat mempunyai peranan masing-masing dalam menarik kehadiran pelancong antarabangsa.

Perdana menteri berkata melalui kempen berkenaan, kerajaan menyasarkan untuk mencapai seramai 30 juta pelancong antarabangsa dan RM100 bilion pendapatan dalam sektor pelancongan.

Bercakap di hadapan kira-kira 80,000 pengunjung sempena sambutan Ambang 2020@Kuala Lumpur dan pelancaran VM2020 di Dataran Merdeka di sini, beliau berkata sektor pelancongan adalah satu industri yang berupaya melibatkan setiap lapisan masyarakat dan tidak mempunyai had kepada sesiapa yang menceburinya.

“Kesan limpahan ataupun ‘spill over effect’nya amat menyeluruh dan rakyat boleh memilih untuk menceburinya mengikut keupayaan, kreativiti dan cita rasa diri masing-masing,” kata perdana menteri.

Sambutan Ambang Tahun Baharu 2020 dan pelancaran VM2020 yang dianjurkan bersama tiga kementerian – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia – turut dihadiri isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan barisan Menteri Kabinet.

Dr Mahathir berkata VM2020 bertujuan memperkukuh industri pelancongan yang telah terbukti memberi sumbangan besar kepada negara.

Sumbangan industri berkenaan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun lepas memperlihatkan peningkatan kepada 15.2 peratus dengan nilai RM220.6 bilion, berbanding 14.6 peratus dengan nilai RM201.4 bilion pada 2017, katanya.

Dari segi peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, beliau berkata industri pelancongan kekal kompetitif dan pada tahun lepas, guna tenaga dalam industri ini meningkat 4.9 peratus kepada 3.5 juta orang dan menyumbang 23.5 peratus kepada jumlah keseluruhan guna tenaga negara berbanding 22.9 peratus pada 2017.

Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melihat persembahan dron pada sambutan ambang Tahun Baharu 2020 di Dataran Merdeka malam tadi.
Turut hadir Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohammadin Ketapi dan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad. Foto BERNAMA

Bagi 2019, Dr Mahathir berkata industri pelancongan negara dari Januari hingga September menunjukkan prestasi amat menggalakkan dengan ketibaan pelancong asing meningkat sebanyak 3.7 peratus kepada 20.11 juta orang berbanding 19.39 juta orang bagi tempoh sama pada 2018.

Perbelanjaan pelancong asing bagi tempoh Januari hingga September, katanya, turut menunjukkan peningkatan 6.9 peratus iaitu RM66.14 bilion, berbanding RM61.85 bilion bagi tempoh sama pada 2018.

“Saya perincikan statistik tersebut untuk memperlihat kepada hadirin betapa besarnya peluang yang terdapat di dalam industri pelancongan dan ia terus berkembang setiap tahun,” katanya.

Perdana menteri berkata Malaysia beruntung kerana pada 2020, Malaysia dipilih sebagai tuan rumah Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2020 dengan tema ‘Mengoptimumkan Potensi Insan ke Arah Masa Depan Kemakmuran Bersama’.

“Saya yakin kita berupaya menjadi penganjur yang baik terutama dalam apa yang kita gelar sebagai Hospitaliti Malaysia atau Malaysian Hospitality.

“Apa yang telah saya sebut cuma peratusan kecil daripada apa yang telah kita rancang untuk tahun 2020 dan banyak lagi acara dan program yang akan dilaksana.

“Saya percaya, rakyat juga berkongsi harapan bersama kerajaan yang mahu supaya semua program yang telah kita susun akan mencapai kejayaan,” kata Dr Mahathir.

Sebelum ini, kerajaan menerusi Belanjawan 2020 mengumumkan peruntukan RM90 juta, khas untuk meningkatkan kesedaran, promosi dan program sempena kempen berkenaan.

Ini adalah kempen kelima Tahun Melawat Malaysia dengan tema ‘Visit Truly Asia Malaysia 2020’, yang menggunakan logo berinspirasikan batik Malaysia menampilkan pelbagai ikon negara seperti burung kenyalang, bunga raya, pakis liar dan warna-warna Jalur Gemilang.

Kempen Tahun Melawat Malaysia yang pertama diadakan pada 1990 dengan tema “Fascinating Malaysia” diikuti edisi kedua pada 1994 bertemakan “Fascinating Malaysia – Naturally More” dan edisi ketiga pada 2007 dengan tema “Celebrating 50 Years of Nationhood” manakala yang keempat dilancarkan pada 2014 dengan slogan “Meraikan 1Malaysia Truly Asia”.

-BERNAMA