Categories
AGENDA NASIONAL

Promosi Pos Laju SendParcel dilanjut hingga 31 Januari

SHAH ALAM, 7 JAN: Atas permintaan ramai Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) melanjutkan tempoh promosi Pos Laju SendParcel sehingga 31 Januari 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Syed Md Najib berkata, pelanggan semasa dan baharu dengan nilai tambah RM1,000 dan ke atas berpeluang menikmati RM5 bersih untuk barangan kurang daripada 5 kilogram bagi penghantaran ke seluruh Semenanjung Malaysia sebelum tarikh itu.

“Kami membuat keputusan untuk melanjutkan promosi Pos Laju SendParcel kerana mendapat permintaan menggalakkan daripada pelanggan semasa dan baharu, terutama yang terlibat dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), PKS mikro dan perniagaan e-Dagang.

“Sebagai penyedia perkhidmatan pos utama, kami komited dalam memberikan tawaran dan perkhidmatan yang terbaik bagi menggalakkan pertumbuhan e-Dagang di Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Pos Laju SendParcel adalah sebuah platform dalam talian yang menyediakan perkhidmatan penghantaran mudah kepada individu dan pelanggan komersial.

Pelanggan hanya dikehendaki membuka akaun dan memilih salah satu daripada lapan pakej tambah nilai yang disediakan di sendparcel.poslaju.com.my.

Di samping itu, kempen Prabayar Pos Laju akan bermula pada 9 Januari hingga 8 Februari depan menawarkan diskaun kepada pelanggan bagi sampul prabayar jingga atau merah dan sampul biru untuk penghantaran ke seluruh Malaysia bermula dari RM6.90 bagi 500 gram.

Sampul prabayar boleh didapati di semua pusat dan kiosk Pos Laju, pejabat pos seluruh negara, Pos Laju EziDrive-Thru, Pos Laju Go2u, Pos-on-Wheel, ejen berdaftar Pos Laju, Shopee dan melalui kedai dalam talian di eziemall.com.