Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

SKMM tahan wanita disyaki sebar berita palsu koronavirus

KUALA LUMPUR, 31 JAN: Seorang wanita ditahan di Kuantan, Pahang kerana disyaki menyebarkan kandungan berita palsu mengenai penularan koronavirus 2019 (2019-nCoV) di media sosial.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam kenyataan berkata suspek berusia 28 tahun yang merupakan kerani bank ditahan sekitar 4 petang semalam bagi membantu siasatan berhubung kandungan berita palsu yang dimuat naik di Facebook pada 27 Januari lalu.

‚ÄúTurut dirampas telefon bimbit dan kad sim milik suspek yang dipercayai digunakan untuk memuat naik kandungan palsu terbabit,” menurut kenyataan itu.

Suspek disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Menurut kenyataan itu, sejak 28 Januari lalu, SKMM dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia menahan enam suspek dipercayai menyebarkan kandungan palsu mengenai koronavirus.

Operasi menahan individu yang disyaki mengedar berita palsu akan diteruskan untuk memastikan penularannya dikawal dan menjamin keamanan serta kesejahteraan rakyat Malaysia.

-BERNAMA