Categories
AGENDA NASIONAL

Subsidi lesen RiDE motosikal, MSN mulakan bancian

SHAH ALAM, 7 JAN: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor sedang melakukan bancian dalam kalangan belia Selangor bagi mengenal pasti mereka yang layak menyertai Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) untuk mengambil kursus dan mendapat lesen motosikal.

Pengarah Eksekutifnya, Adi Faizal Ahmad Tarmizi berkata langkah itu dimulakan sejak malam tahun baharu dan selepas ini ruang pameran akan dibuka di beberapa lokasi terpilih bagi memudahkan pendaftaran.

“Kita baru mulakan bancian dan pendaftaran telah dibuka kepada semua belia berumur 16 hingga 30 tahun yang berasal dari Selangor.

“Insya-Allah dalam masa terdekat satu perbincangan lanjut bersama pengusaha perkhidmatan (sekolah memandu) akan dimulakan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan sebagai badan pengawal.

“Setakat ini belum ada pautan (link pendaftaran) khusus tetapi dalam masa terdekat akan dimaklumkan,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Dalam Belanjawan Selangor 2020, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1 juta bagi program RiDE yang menawarkan subsidi RM350 bagi pengambilan lesen motosikal.

Inisiatif yang dilaksanakan MSN Selangor itu dijangka memberi manfaat kepada hampir 3,000 anak muda seluruh negeri terutama golongan miskin bandar.

Caj semasa untuk mendapat lesen motosikal antara RM350 hingga RM1,100 mengikut kelas.