Categories
AGENDA SUKANKINI

Tumit Rufino cedera resahkan jurulatih Red Giants

SHAH ALAM, 6 JAN: Kecederaan lama yang kembali menghantui Rufino Segovia meresahkan jentera serangan Selangor sebelum permulaan kempen Liga Super, Februari ini.

Sediakala berdepan masalah pemain  Norhakim Hassan yang mengalami kecederaan lutut, ketua jurulatih red Giant berkata situasi Rufino  masih dalam pemantauan dan beliau akan berbincang dengan pengurusan untuk tindakan selanjutnya.

“Sekiranya, kecederaan lama ini memaksa Rufino berehat panjang sekali lagi, sudah tentu situasi ini menjejaskan persiapan Selangor untuk mengharungi musim baharu nanti,” kata B Sathianathan, lapor Berita Harian.

Selangor kehilangan khidmat Wan Zack Haikal Wan Noor pada musim lalu kerana mengalami kecederaan ‘anterior cruciate ligament’ (ACL) ketika pramusim.

Sebelum ini, Rufino mengalami kecederaan di bahagian bahagian tumit yang memaksa pemain Sepanyol itu berehat panjang dan hanya pulih pada penghujung musim.

Perkembangan ini menyaksikan peminat Gergasi Merah terpaksa menanti untuk melihat aksi Rufino bersama pemain Nigeria, Ifedayo Olesegun mengemudi jentera serangan.