Categories
AGENDA NASIONAL

Usaha tangani koronavirus tiada kaitan dengan kaum

SHAH ALAM, 31 JAN: Rakyat Malaysia digesa berhenti mengaitkan usaha kerajaan menangani wabak koronavirus 2019 dengan isu perkauman, kata menteri luar negeri.

Datuk Saifuddin Abdullah berkata isu terbabit timbul susulan jangkitan itu berasal dari China, lapor Malaysiakini.

“Koronavirus kebetulan datang dari China, sebelum ini kita ada ebola dari Afrika dan jangkitan lain dari benua yang lain tetapi tidak pernah timbul isu perkauman.

“Sebab itu saya harap kita sebagai rakyat Malaysia boleh hentikan isu perkauman ini,” katanya kepada media pada majlis Tahun Baru Cina di Kuantan, Pahang semalam.

Sehingga semalam, jumlah kematian akibat wabak itu di China meningkat kepada 213 dengan 9,692 kes dilaporkan.