Categories
AGENDA BERITA UTAMA GLOBAL

Angka korban akibat koronavirus meningkat kepada 636 orang

SHAH ALAM, 7 FEB: Jumlah kematian di China susulan wabak koronavirus 2019 meningkat kepada 636 orang, dengan kes jangkitan melonjak melebihi 31,000.

Angka itu direkodkan selepas republik tersebut melaporkan 73 kematian baharu susulan penularan wabak berkenaan, kata Suruhanjaya Kesihatan Negara, lapor The Straits Times.

Daripada jumlah kes dilaporkan, lebih 4,800 orang memerlukan pemantauan rapi.

Sementara itu, sejumlah 1,540 pesakit yang dijangkiti virus tersebut di seluruh negara dibenarkan keluar dari hospital selepas pulih sepenuhnya.

Hari ini, seorang doktor di China yang merupakan antara terawal memberi amaran mengenai ancaman koronavirus, meninggal dunia akibat wabak itu.

Kematian Li Wenliang, 34, yang bertugas sebagai pakar mata di sebuah hospital di Wuhan, diratapi dalam media sosial ketika Beijing mengisytiharkan ‘perang rakyat’ terhadap wabak yang menular dengan pantas.